Oleh Atira Khalisha Nor Adnan
KUALA LUMPUR, 8 Sept (Bernama) -- Penganjuran Keretapi Sarong 2026 (KS26) edisi ke-10 yang bakal berlangsung pada 16 Sept depan diperluas ke 10 bandar di seluruh negara dengan tiga lokasi baharu, iaitu Padang Besar, Langkawi dan Kuching.
Pengasas Bersama LOCCO Shamsul Bahrin Zainuzzaman berkata program tahunan bersempena dengan Hari Malaysia itu akan berlangsung serentak di bandar-bandar terpilih termasuk Sungai Petani, George Town, Ipoh, Melaka, Johor Bahru, Kota Bharu dan Kuantan.
“Penambahan lokasi bukan sekadar untuk menarik lebih ramai peserta, tetapi turut menjadi usaha membawa mesej perpaduan dan kecintaan terhadap Malaysia kepada lebih ramai komuniti.
“Perkembangan ini membuktikan Keretapi Sarong bukan lagi sekadar acara yang tertumpu di ibu negara, tetapi semakin menjadi gerakan kebudayaan digerakkan bersama komuniti di seluruh negara,” katanya kepada Bernama selepas sidang media KS26, di sini hari ini.
Beliau berkata bagi peserta di Lembah Klang, mereka akan berkumpul di 12 stesen permulaan terpilih sebelum bergerak bersama-sama menuju “destinasi rahsia” yang merupakan identiti serta elemen kejutan acara tersebut.
Shamsul Bahrin berkata Sarawak turut melakar sejarah sebagai lokasi pertama di luar Semenanjung yang menyertai Keretapi Sarong, namun penganjuran di Kuching terpaksa ditangguhkan ke Disember depan susulan keadaan jerebu yang melanda ketika ini.
Selain perluasan lokasi, edisi tahun ini turut memperkenalkan 'Stesen Wanita' di MRT Titiwangsa sebagai pengisian khas yang memberi tumpuan kepada kreativiti serta sumbangan wanita dalam membentuk keluarga, komuniti dan negara.
“Stesen khas wanita diperkenalkan susulan permintaan komuniti wanita yang mahu menikmati pengalaman Keretapi Sarong dalam suasana lebih selesa dengan peserta wanita lain, khususnya ketika keadaan sesak.
“Kita mengambil keputusan untuk buat satu stesen khusus buat wanita sahaja dan kita sangat teruja dengan pengaktifan stesen ini kerana memberikan warna baharu kepada Keretapi Sarong,” katanya, menambah pihaknya menyasarkan 25,000 peserta pada edisi kali ini.
Penganjuran tahun ini turut memperkenalkan lagu “Joget Sarong” sebagai lagu tema, selain mengangkat “Sayang Malaysia” sebagai tema KS26 yang mencerminkan semangat cinta dan kebanggaan terhadap negara.
“Tema ini pernah digunakan pada 2017 dan kami guna semula tahun ini kerana selari dengan matlamat Keretapi Sarong untuk menerapkan rasa cinta terhadap negara, selain mengingatkan rakyat akan kepentingan perpaduan bersempena dengan sambutan Hari Malaysia.
“Saya rasa ‘Sayang Malaysia’ merupakan satu perkataan atau makna yang sangat besar bukan sahaja buat orang Malaysia tetapi juga buat kami di Keretapi Sarong. Kita nak terapkan rasa cinta dan sayang kepada negara,” katanya.
Program Keretapi Sarong dimulakan oleh pertubuhan bukan kerajaan Random Alphabet pada 2012 sebelum diambil alih oleh LOCCO pada 2017.
Acara itu melibatkan ribuan peserta yang menaiki pengangkutan awam dengan menggayakan pelbagai jenis kain sarung sama ada batik atau pelekat, bagi memartabatkan pakaian tradisional tersebut sebagai simbol perpaduan.
-- BERNAMA