Am 08/09/2026 01:36 PM

Para SUKMA: Guru Tahfiz Hadiah Emas Pertama Ping Pong Negeri Sembilan

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Para SUKMA: Guru Tahfiz Hadiah Emas Pertama Ping Pong Negeri Sembilan
Reaksi atlet para ping pong Negeri Sembilan Muhammad Bazli Alias selepas menewaskan atlet para ping pong Sabah Muhamad Lizan Mat Sittim dalam perlawanan akhir acara perseorangan lelaki kelas 1-3 pada Temasya Para Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 di Dewan Bukit Raja (MBDK) hari ini.

KLANG, 8 Sept (Bernama) -- Jika pada Para Sukan Malaysia (Para SUKMA) 2022, atlet ping pong Negeri Sembilan Muhamad Bazli Alias mencipta kejayaan menerusi acara beregu, kini beliau membuktikan kemampuan dalam kategori perseorangan apabila cemerlang meraih pingat emas berkerusi roda kelas 1-3 (kecacatan fizikal).

Pada aksi final hari ini, Muhamad Bazli, 37, yang juga guru tahfiz menidakkan cabaran wakil Sabah Muhamad Liza Mat Sittim 11-9, 11-9, 10-12, 11-5 untuk muncul juara.

Lebih manis, kejayaan itu merupakan pingat emas pertama buat Negeri Sembilan dalam sukan ping pong pada edisi kali ini.

“Saya pernah dapat emas sebelum ini tapi bukan dalam acara perseorangan. Jadi saya puas dapat emas ini yang juga emas pertama Negeri Sembilan bagi sukan ping pong,” katanya ketika ditemui Bernama hari ini.

Dalam pada itu, Muhamad Bazli memasang impian untuk mewakili negara pada Sukan Para ASEAN di Malaysia tahun hadapan sekiranya acara berkenaan dipertandingkan.

Sementara itu, dalam penentuan tempat ketiga dan keempat kategori berkenaan, atlet Perak Nur Izhar Idham cemerlang menyumbang gangsa apabila menewaskan wakil Pulau Pinang menerusi kemenangan 11-7, 11-4, 11-5.

-- BERNAMA