GERIK, 8 Sept (Bernama) -- Faktor laluan mendaki yang telah tertutup dan berhalangan akibat lama tidak dilalui oleh pendaki menjadi punca kelewatan enam pendaki yang ditemui selamat malam tadi selepas menyertai Ekspedisi Trans Gerah di Gunung Gerah, Kelantan pada 29 Ogos lalu.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Datuk Sayani Saidon berkata pendaki mendapati laluan trek di Gunung Beratoh dan Gunung Sepat telah tertutup akibat faktor tersebut.
"Apabila mereka sampai ke Gunung Beratoh dan Gunung Sepat, didapati trek untuk ke kedua-dua gunung itu telah tertutup kerana telah lama tidak dilalui oleh pendaki.
“Atas faktor kesukaran seperti pokok tumbang, menyebabkan mereka mengambil masa (untuk keluar)," katanya ketika ditemui di Jeti Trojan, Tasik Banding di sini hari ini.
Sayani berkata kawasan pendakian yang tiada liputan komunikasi turut menyumbang kepada masalah terputus hubungan, sekali gus mencetuskan kebimbangan keluarga mangsa sebelum laporan polis dibuat.
Beliau berkata mangsa berjaya naik ke Bukit Bongok dan menemui isyarat talian untuk menghubungi keluarga, sekali gus lokasi tepat mereka berjaya dikesan dan ditemui dalam keadaan selamat.
Terdahulu enam pendaki terbabit telah selamat keluar dari Pos Kemar pada 10.20 pagi tadi, melalui Jeti Trojan.
Enam mangsa terbabit Wan Ahmad Aslam Wan Zairudin, 39, dan isteri Siti Zulaiha Norizan, 39, serta anak Diya Raisha, 13, dan Ahmad Raef, 9, serta dua malim gunung Shafiee Sidek, 49, dan Hazman Mamat, 43, telah dikesan selamat malam tadi sebelum dibawa menjalani pemeriksaan kesihatan oleh pegawai perubatan di Klinik Kesihatan Pos Kemar.
Sebelum ini, enam mangsa itu dilaporkan hilang selepas mendaki gunung itu pada 29 Ogos, selepas dilaporkan gagal keluar dari hutan mengikut tarikh dijadualkan, iaitu 3 Sept dan ahli keluarga membuat laporan polis pada Ahad.
-- BERNAMA