Oleh Maizatul Jamny Muhammad Rosli and Nazira Hasanah Nasaruddin
BAGAN SERAI, 8 Sept (Bernama) -- Dalam usianya yang baru setahun, Orked tidak mengetahui apa-apa tentang kepupusan, populasi terancam atau tanggungjawab yang mungkin dipikul oleh generasinya yang kecil itu suatu hari nanti.
Penghuni termuda Pulau Orang Utan Bukit Merah itu antara 15 ekor orang utan yang masa depannya berpotensi menjadi jauh lebih penting daripada sekadar membesar di dalam kawasan perlindungan berkenaan.
Bagi Yayasan Pulau Orang Utan Bukit Merah, Orked dan orang utan yang dilahirkan selepasnya berpotensi menjadi sebahagian daripada 50 ekor “populasi jaminan”, jumlah yang cukup besar untuk memberi harapan memulihkan semula populasi haiwan itu di habitat liar sekiranya berlaku malapetaka yang memusnahkan spesies itu di habitat semula jadi.
Penasihat yayasan itu, Azmil Khuzaid Zakaria berkata pelan jangka panjang berkenaan yang mungkin mengambil masa antara 15 hingga 20 tahun dirangka berasaskan kemungkinan bahawa populasi orang utan di habitat liar suatu hari nanti boleh merosot menyebabkan populasi yang dilindungi seperti di Bukit Merah menjadi amat penting dalam usaha memulihkan semula jumlahnya.
“Jumlah 50 ekor itu pada asasnya adalah jaminan bagi mengekalkan populasi haiwan itu, bermakna sekiranya berlaku kemerosotan besar-besaran di habitat liar, jumlah ini mencukupi untuk memulakan proses pemulihan semula populasi di habitat liar. Sudah tentu, ia akan mengambil masa beberapa dekad,” katanya kepada Bernama ketika Lawatan Pengenalan Media di Bukit Merah Laketown Resort di sini pada Ahad.
Senarai terkini yayasan itu menunjukkan bahawa penghuni semasanya terdiri daripada lapan ekor jantan dan tujuh ekor betina, dengan Orked yang berusia setahun dan Aggy yang berusia dua tahun, sehinggalah orang utan yang telah lama menghuni pulau itu, seperti B.J., 40 tahun, Baboon, 39 tahun dan Ah Ling, 32 tahun.
JARINGAN KESELAMATAN BIOLOGI
Azmil Khuzaid berkata usaha pemuliharaan selama ini dilihat berjaya memperlahankan penurunan populasi orang utan, namun situasi semasa masih tidak menentu sehingga yayasan itu belum bersedia untuk merealisasikan hasrat awalnya untuk melepaskan orang utan dari pulau berkenaan ke habitat liar.
Beliau berkata rancangan asal adalah untuk melepaskan orang utan ke habitat liar secara berperingkat apabila populasi di pulau itu bertambah dan bukannya terus memperluas kemudahan yang ada. Namun rancangan itu ditangguhkan kerana orang utan yang telah lama berada dalam kurungan memerlukan latihan sebelum dilepaskan, ditambah pula dengan keadaan populasi orang utan di habitat liar yang masih tidak menentu.
Keputusan itu akhirnya mencetuskan satu idea yang berbeza. Daripada melihat pulau itu sekadar tempat perlindungan sementara, yayasan berkenaan akan memperluaskannya bagi mengekalkan populasi yang lebih besar dan berupaya menjadi jaringan keselamatan biologi.
Pada masa ini, Azmil Khuzaid berkata hampir dua hektar daripada keseluruhan kawasan seluas enam hektar di pulau itu telah digunakan dan keluasan sedia ada hampir mencapai kapasiti maksimum, dengan ruang untuk hanya dua atau tiga ekor orang utan lagi, atau mungkin sehingga lima ekor jika dimanfaatkan sepenuhnya.
Beliau berkata tambahan kawasan seluas dua hektar, yang sebahagian besarnya akan diperuntukkan untuk ruang bagi orang utan dan bukannya kemudahan pentadbiran, mampu menampung kira-kira 60 ekor haiwan itu, walaupun yayasan berkenaan berhasrat mengekalkan jumlah populasi pada sekitar 50 ekor.
RUANG, DOMINASI DAN KUMPULAN GEN
Ruang bukan sekadar soal angka. Dengan lapan daripada 15 orang utan yang ada sekarang adalah jantan, yayasan itu juga perlu menangani naluri semula jadi haiwan-haiwan ini untuk menguasai kawasan apabila mereka semakin matang, yang menyebabkan sesetengah orang utan jantan perlu diasingkan.
Azmil mengimbas kembali bagaimana Mike, orang utan jantan dominan asal pulau itu, pernah bergaduh dengan B.J. dalam satu pertembungan yang menunjukkan betapa seriusnya konflik berkenaan.
“Dia (Mike) bergaduh dengan B.J., dan dia kalah. Kami telah memisahkan mereka (selepas itu). Walau bagaimanapun, Mike tidak hidup lama selepas itu,” katanya.
Keperluan untuk memisahkan subspesies orang utan Borneo yang berbeza turut merumitkan keadaan dan pada masa yang sama pihak yayasan perlu mengurus kepelbagaian genetik bagi populasi yang masih agak tertutup.
Bagi memperluas kumpulan gen dan mengurangkan risiko pembiakbakaan dalam dalam beberapa generasi akan datang, Azmil Khuzaid berkata pihak yayasan sedang bekerjasama dengan zoo serta meneroka kerjasama dengan organisasi lain yang menempatkan orang utan melalui pertukaran haiwan.
Seekor orang utan yayasan itu kini ditempatkan di Zoo Melaka susulan percubaan untuk membiak baka dengan seekor orang utan betina di sana. Memandangkan usaha tersebut tidak berjaya, beliau berkata pihak yayasan merancang untuk membawa orang utan itu pulang dan menghantar sepasang orang utan sebagai pertukaran, manakala perbincangan dengan beberapa organisasi lain juga sedang dijalankan.
Beliau berkata peningkatan populasi secara semula jadi itu sendiri menguji kesabaran kerana anak orang utan biasanya akan kekal bersama ibunya sehingga berusia lima hingga tujuh tahun dan si ibu lazimnya tidak akan bunting lagi dalam tempoh tersebut.
“Jadi, jika kita hanya bergantung pada pertambahan secara semula jadi seperti itu, ia akan mengambil masa yang terlalu lama. Oleh itu, kami sedang melihat pilihan lain, termasuk membawa masuk orang utan dari tempat lain ke sini,” katanya.
Selain usaha pemuliharaan, beliau berharap populasi sebesar itu juga dapat memberi penyelidik lebih banyak peluang untuk memahami struktur sosial dan tingkah laku orang utan, yang sukar diperhatikan di habitat liar.
Beliau berkata orang utan cukup sukar untuk dijumpai di habitat semula jadinya sehingga penyelidik mungkin menghabiskan masa berhari-hari mencari tanpa menjumpai walau seekor, menjadikan populasi haiwan itu di pulau berkenaan sebagai cukup berpotensi dan bernilai dalam membina pengetahuan saintifik tentang spesies tersebut.
KOS UNTUK MEMASTIKAN HARAPAN TERUS MENYALA
Usaha mengekalkan jaringan keselamatan itu bagaimanapun memerlukan kos yang besar.
Azmil Khuzaid berkata pihak yayasan sebelum ini banyak bergantung kepada pembiayaan daripada pengasas Kumpulan EMKAY Allahyarham Tan Sri Mustapha Kamal Abu Bakar yang menerajui usaha penubuhan Pulau Orang Utan Bukit Merah dengan hasil jualan tiket pengunjung kini menampung sebahagian besar perbelanjaan pulau tersebut.
Bagaimanapun, sejak menyertai yayasan itu pada 2020, beliau berkata semakin jelas bahawa usaha pemuliharaan orang utan tidak seharusnya hanya bergantung kepada seorang individu atau sesebuah organisasi.
Beliau berkata untuk itu, pihak yayasan telah bekerjasama dengan organisasi termasuk Yayasan Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit Malaysia (MPOGCF) dan yang terbaharu, Marriott Bonvoy, di samping terus mencari rakan kongsi lain yang mempunyai aspirasi yang sama.
“Terpulang kepada kita semua untuk memainkan peranan masing-masing. Ia bukan sekadar soal wang,” katanya sambil menambah bahawa organisasi juga boleh menyumbang masa, kepakaran atau sumber lain.
Cabaran itu akan bertambah seiring dengan peningkatan populasi, dengan Azmil Khuzaid menganggar bahawa menambah tiga kali ganda jumlah orang utan juga akan meningkatkan kos operasi sebanyak tiga kali ganda.
Kos tenaga sahaja merangkumi hampir satu pertiga daripada perbelanjaan operasi. Pulau itu menggunakan generator diesel sebagai sumber tenaga dan bekalan elektrik sejak beberapa tahun kebelakangan ini hanya tersedia selama kira-kira 12 jam sehari, manakala peralihan yang dirancang kepada penggunaan tenaga solar dijangka dapat memenuhi kira-kira 30 peratus daripada keperluan tenaganya.
Beliau berkata pemulihan bekalan elektrik 24 jam akan membolehkan makanan disimpan di pulau itu serta menyediakan sokongan yang lebih baik ketika berlaku kecemasan.
Azmil Khuzaid berkata di sebalik penjagaan haiwan-haiwan itu, terdapat 17 petugas yang terdiri daripada renjer, jururawat dan seorang doktor veterinar yang bertanggungjawab memastikan pulau tersebut terus beroperasi serta penghuninya mendapat penjagaan yang sewajarnya.
TANGGUNGJAWAB BERSAMA
Sementara itu, pihak yayasan sedang mempertimbangkan untuk menghidupkan semula program sukarelawan individu, yang masih belum dimulakan semula sejak pandemik COVID-19. Sebelum itu, program “voluntourism” menarik penyertaan orang ramai dari dalam dan luar negara untuk meluangkan masa selama beberapa minggu membantu menjalankan kerja-kerja di pulau tersebut.
“Mereka (pelancong) akan datang ke sini, meluangkan masa selama beberapa minggu dan melakukan kerja sukarela. Mereka membayar ejen pelancongan untuk mendapatkan pengalaman membersihkan sangkar orang utan. Jadi, ia merupakan satu konsep yang menarik, Alhamdulillah, masih ada orang yang mahu melakukan perkara ini,” katanya.
Buat masa ini, usaha untuk mencapai populasi 50 ekor orang utan di Pulau Orang Utan Bukit Merah masih satu visi yang tidak akan dicapai dalam tempoh singkat, sebaliknya mungkin mengambil masa beberapa dekad. Ia memerlukan pembinaan kandang baharu, sumber kewangan yang lebih besar, pengurusan genetik yang teliti serta lebih ramai rakan kongsi yang sanggup berkongsi tanggungjawab.
Bagi Orked dan 14 ekor orang utan lain yang sudah menjadikan pulau itu sebagai habitat mereka, tempoh jangka panjang itu membawa tujuan yang jauh lebih besar: memastikan sekiranya perkara terburuk berlaku di luar pulau tersebut, masih ada populasi yang dapat dijadikan titik permulaan untuk membina semula populasi orang utan.
-- BERNAMA