IPOH, 8 Sept (Bernama) -- Enam pendaki yang menyertai Ekspedisi Trans Gerah di Gunung Gerah, Kelantan dibawa keluar dengan selamat dari Pos Kemar, Gerik pada 8.30 pagi tadi.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perak Datuk Sayani Saidon berkata Wan Ahmad Aslam Wan Zairudin, 39, dan isteri Siti Zulaiha Norizan, 39, bersama-sama anak mereka, Diya Raisha, 13, dan Ahmad Raef, 9, serta dua malim gunung Shafiee Sidek, 49, dan Hazman Mamat, 43, tiba di Jeti Trojan, Tasik Banding pada 10.20 pagi.
“Kesemua mangsa dan pasukan SAR tiba di Pos Kemar pada 9.15 malam tadi. Mangsa telah menjalani pemeriksaan kesihatan oleh pegawai perubatan di Klinik Kesihatan Pos Kemar dan berehat di fasiliti berkenaan.
“Mereka kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik untuk urusan dokumentasi dan tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Sebelum ini, enam mangsa itu dilaporkan hilang selepas mendaki gunung berkenaan pada 29 Ogos, dan dilaporkan gagal keluar dari hutan mengikut tarikh dijadualkan pada 3 Sept menyebabkan ahli keluarga membuat laporan polis pada Ahad.
Kesemua mereka ditemukan selamat oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) semalam dan dibawa keluar dari Kem Kulim ke Kampung Lelar kira-kira 8.45 malam dalam keadaan baik tanpa sebarang kecederaan.
-- BERNAMA