KUALA LUMPUR, 7 Sept (Bernama) -- Dakwaan Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang berhubung wujudnya rancangan sebuah negara asing yang mahu menjatuhkan Kerajaan Malaysia pada 2014 adalah satu pendedahan serius yang menyentuh isu kedaulatan negara.
Menganggap ia bukan perkara remeh, Sekretariat Gerak Gempur Media Sosial Rakyat (SEKPUR) hari ini menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) melakukan siasatan tegas ke atas mana-mana pihak yang didakwa terbabit dalam komplot berkenaan.
Pengerusi Biro Politik SEKPUR Shahbudin Embun berkata hal ini kerana tindakan tersebut boleh disifatkan sebagai mempunyai niat untuk menggulingkan kerajaan sah pimpinan Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Tun Razak.
"Ini satu perkara yang sensitif... kalau ikut Kanun Keseksaan, ia menunjukkan terdapatnya niat (mens rea)... kalau ada unsur-unsur (campur tangan) 10 tahun lepas, kita khuatir sekarang pun ada unsur-unsur tersebut.
"Kita mahu kerajaan dan Ketua Polis Negara meneliti perkara ini dalam segala aspek termasuk menyiasat jika terdapat sebarang dana disalurkan kepada pihak berkenaan untuk menjatuhkan kerajaan pada ketika itu," katanya pada sidang media di sini.
Shahbudin berkata susulan pendedahan pada Muktamar Tahunan PAS di Kelantan itu, pihaknya telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pada Khamis lepas.
Pemangku Ketua Polis Daerah Dang Wangi Superintenden Nuzulan Mohd Din ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berkenaan pada 8.28 malam, dengan kes bersangkut siasatan di bawah IPD Wangsa Maju.
Semalam, Ketua Cabang PKR Setiawangsa Datuk Afdlin Shauki Aksan berkata pihaknya telah membuat laporan polis berhubung isu sama, dan memohon PDRM menjalankan siasatan menyeluruh termasuk meneliti sama ada terdapat sebarang unsur kesalahan di bawah Akta Hasutan 1948 serta Seksyen 124B dan 124C Kanun Keseksaan.
"Mana-mana individu yang membuat dakwaan serius melibatkan campur tangan kuasa asing dalam urusan politik negara mestilah bersedia memberikan keterangan dan mengemukakan bukti kepada pihak berkuasa," menurutnya dalam satu kenyataan.
Dalam perkembangan berkaitan, tiga lagi laporan polis berhubung isu sama turut dibuat oleh barisan pimpinan PKR Cabang Bandar Tun Razak di Balai Polis Cheras pada kira-kira 5 petang semalam.
Sebelum ini, media melaporkan Abdul Hadi mendedahkan beberapa pemimpin PAS hadir dalam pertemuan dengan Duta Amerika Syarikat (AS) iaitu Datuk Seri Takiyuddin Hassan, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar dan Mustafa Ali.
Mereka dijemput ke Kedutaan AS sewaktu lawatan Presiden Barack Obama ke Malaysia, dengan pihak asing didakwa menawarkan bantuan untuk menjatuhkan Kerajaan Malaysia.
-- BERNAMA