Am 07/09/2026 06:48 PM

FTIM 2026 Himpun Ulama Muktabar Lima Negara Di Putrajaya

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
FTIM 2026 Himpun Ulama Muktabar Lima Negara Di Putrajaya
fb YB Senator Dr. Zulkifli Hasan

KUALA LUMPUR, 7 Sept (Bernama) -- Festival Turath Islami Malaysia (FTIM) 2026 bakal berlangsung selama lapan hari di Masjid Putra, Putrajaya, bermula 13 Sept ini, menghimpunkan ulama muktabar dari Mesir, Maghribi, Malaysia, Indonesia dan Thailand. 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan menerusi hantaran Facebook memaklumkan festival yang berlangsung hingga 20 Sept itu menjadi wadah pertemuan para ulama, ilmuwan dan pencinta ilmu dari dalam serta luar negara. 

Beliau berkata antara pengisian utama FTIM 2026 ialah Daurah al-Hikam, iaitu sesi pengajian dan talaqqi secara langsung bersama ulama bagi mendalami Kitab al-Hikam karya Imam Ibnu ‘Ata’illah al-Sakandari.

“FTIM 2026 turut menampilkan pelbagai komponen acara untuk seisi keluarga dan semua lapisan masyarakat, menjadikan festival ini bukan sekadar medan pengajian, tetapi sebuah pengalaman ilmu yang dapat dinikmati bersama,” katanya. 

FTIM 2026 merupakan peluasan Festival Turath Islami Selangor (FTIS), yang memasuki edisi keempat tahun ini ke peringkat kebangsaan dengan skala lebih besar dalam usaha memartabatkan khazanah turath Islam sebagai asas pembangunan insan dan pembentukan masyarakat berilmu.

Program itu merupakan kerjasama antara Kerajaan Negeri Selangor dan Kerajaan Persekutuan melalui Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), sebagai kesinambungan kepada tiga edisi FTIS sebelum ini.

Media sebelum ini melaporkan acara berkenaan bakal menampilkan 23 tokoh tempatan dan antarabangsa dalam lebih 42 sesi, termasuk Syeikh Dr Ali Jum’ah.

Antara tokoh yang dijadualkan terlibat ialah Profesor Dr Sayyid Idris al-Fasi al-Fihri, Dr Adi Hidayat, Ustaz Wadi Annuar serta Mufti Selangor Datuk Dr Anhar Opir.

-- BERNAMA