KUALA LUMPUR, 7 Sept (Bernama) -- CBH Engineering Holding Bhd (CBH) memperoleh kontrak bernilai RM88.05 juta untuk mereka bentuk dan membina consumer landing station (CLS) 275kV bagi pusat data di Selangor.
Menerusi makluman kepada Bursa Malaysia hari ini CBH memaklumkan anak syarikat milik penuhnya, CBH Engineering Sdn Bhd menerima surat setuju terima bertarikh 14 Ogos 2026, daripada Syarikat A, yang namanya tidak dapat diumumkan susulan perjanjian kerahsiaan.
“Syarikat A diperbadankan di Malaysia sebagai sebuah syarikat sendirian berhad mengikut saham dan terlibat terutamanya dalam aktiviti menyediakan infrastruktur untuk pengehosan, perkhidmatan pemprosesan data dan aktiviti berkaitan,” maklum syarikat itu.
Menurut CBH, kontrak yang bermula 13 Ogos, 2026 itu dijangka selesai pada 12 Mei, 2027.
-- BERNAMA