Ekonomi 07/09/2026 08:57 PM

P.A. Resources Raih Kemudahan Perbankan RM255.45 Juta Bagi Modal Kerja, Kilang Baharu

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
P.A. Resources Raih Kemudahan Perbankan RM255.45 Juta Bagi Modal Kerja, Kilang Baharu

KUALA LUMPUR, 7 Sept (Bernama) -- P.A. Resources Bhd (PARB), menerusi anak syarikat milik penuhnya, menerima kemudahan perbankan tambahan berjumlah RM255.45 juta bagi menyokong operasi sedia ada kumpulan serta pembangunan kilang baharu.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, PARB berkata anak syarikat milik penuhnya, P.A. Extrusion (M) Sdn Bhd (PAESB) dan Professional Aluminium Smelting Sdn Bhd (PASSB) masing-masing menerima dan menandatangani surat tawaran berasingan bertarikh 11 Ogos 2026 bagi kemudahan perbankan tambahan berkenaan.

Bagi kemudahan perbankan konvensional tambahan berjumlah RM205.45 juta, PAESB menerimanya daripada AmBank (M) Bhd, manakala PASSB memperoleh kemudahan perbankan Islam tambahan berjumlah RM50 juta daripada AmBank Islamic Bhd.

Mengulas rasional kemudahan itu, PARB berkata kumpulan berkenaan pada 14 Julai 2026 mengumumkan pembaharuan perjanjian bekalan dengan First Solar bernilai kira-kira US$322.17 juta (US$1=RM4.04) bagi tempoh 1 Julai 2026 hingga 31 Dis 2027.

“Nilai kontrak itu meningkat kira-kira US$90.27 juta atau 38.9 peratus berbanding pembaharuan keempat bernilai US$231.9 juta bagi tempoh 2 Jan 2024 hingga 1 Julai 2025.

“Peningkatan itu diunjurkan untuk meningkatkan pengeluaran kumpulan serta keperluan modal kerjanya,” katanya.

Daripada jumlah kemudahan perbankan itu, RM50 juta akan digunakan untuk memenuhi jangkaan peningkatan keperluan modal kerja susulan nilai jualan yang lebih tinggi serta rancangan pengembangan kumpulan melalui kepelbagaian produk dan pasaran, dengan penggunaannya dijangka seiring dengan peningkatan aktiviti perniagaan dan potensi pendapatan yang terhasil.

Sebanyak RM65.45 juta lagi akan digunakan untuk membiayai pembinaan kilang baharu serta pembelian kilang dan mesin.

Selain itu, RM140 juta pula akan digunakan bagi membiayai keperluan modal kerja loji baharu itu, termasuk pembelian bahan mentah, pegangan inventori serta pembiayaan bagi tempoh kredit yang diberikan kepada pelanggan, katanya.

“Loji baharu itu dijangka meningkatkan kapasiti pengeluaran penyemperitan aluminium bulanan kumpulan daripada kira-kira 3,500 tan kepada 8,500 tan, sekali gus memperkukuh keupayaan kumpulan memenuhi peningkatan tempahan pelanggan serta melaksanakan strategi kepelbagaian produk dan pasaran.

“Secara keseluruhannya, kemudahan perbankan tambahan itu akan memberikan fleksibiliti kewangan yang diperlukan kumpulan untuk memenuhi perjanjian bekalan yang diperbaharui, melaksanakan pelan pengembangan kapasiti dan menyokong pertumbuhan perniagaan yang dijangka, di samping mengekalkan sumber modal kerja sedia ada serta komitmen kumpulan terhadap dasar dividennya,” katanya.

-- BERNAMA