TEHRAN, 7 Sept (Bernama-Sputnik/RIA Novosti) -- Rundingan antara Iran dan Oman mengenai laluan perkapalan sementara melalui Selat Hormuz kini berada pada peringkat akhir, kata Jurucakap Kementerian Luar Iran Esmaeil Baghaei pada Isnin, lapor Sputnik/RIA Novosti.
Pada 25 Ogos, Kementerian Luar Iran memaklumkan bahawa pihaknya sedang bekerjasama dengan Oman untuk mewujudkan koridor perkapalan sementara melalui selat itu dan bersama-sama membersihkan laluan berkenaan daripada periuk api.
Kementerian itu memaklumkan kedua-dua negara turut bersetuju untuk meneruskan perbincangan mengenai penubuhan koridor perkapalan kekal pada masa hadapan.
"Boleh dikatakan bahawa rundingan Iran-Oman telah mencapai peringkat akhir. Ada kemungkinan dalam masa beberapa hari lagi, memorandum Iran-Oman mengenai laluan sementara dan selamat di Selat Hormuz akan didaftarkan dengan Pertubuhan Maritim Antarabangsa," kata Baghaei dalam satu taklimat.
-- BERNAMA-SPUTNIK/RIA NOVOSTI