Am 07/09/2026 07:42 PM

Pameran Sejarah Pembentukan Malaysia Antara Pengisian Sambutan Hari Malaysia 2026

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Pameran Sejarah Pembentukan Malaysia Antara Pengisian Sambutan Hari Malaysia 2026
Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Erwin Khairul Ahmad menjadi tetamu program Bernama Radio Fokus 30: Sambutan Hari Malaysia 2026 di Wisma Bernama.

KUALA LUMPUR, 7 Sept (Bernama) -- Sejarah pembentukan Malaysia bakal diketengahkan menerusi  Pameran Sambutan Hari Malaysia 2026 berkonsepkan “Koridor Zaman Pembentukan Malaysia” di Atrium Utama Plaza Merdeka, Kuching, Sarawak bermula Khamis ini hingga 16 Sept.

Ketua Pengarah Jabatan Penerangan (JAPEN) Erwin Khairul Ahmad berkata pameran dari 10 pagi hingga 10 malam itu dilaksanakan dalam bentuk pavilion galeri berskala besar, yang membolehkan pengunjung menelusuri proses pembentukan Malaysia sehingga hari ini.

Beliau berkata lima segmen utama dipaparkan, iaitu Denai Masa Pembentukan Malaysia, Dokumen Pembentukan Malaysia, Jawatankuasa dan Suruhanjaya Pembentukan Malaysia, Galeri Tokoh serta Galeri Kenegaraan Jejak Identiti Malaysia.

“… dokumen yang menjadi sejarah ramai yang tak pernah tengok, jadi kita akan paparkan dokumen ini yang menjadi rujukan utama (sambutan Hari Malaysia),” katanya pada program Fokus 30: Sambutan Hari Malaysia 2026 terbitan Bernama Radio, hari ini.

Erwin berkata penganjuran itu mendapat kerjasama Unit Komunikasi Awam Sarawak, Arkib Negara Malaysia Negeri Sarawak, Jabatan Arkib Negeri Sabah, Pustaka Negeri Sarawak, Unit Perancang Ekonomi Sarawak dan Jabatan Muzium Sarawak.

Pameran berkonsepkan pop-up berskala lebih kecil turut diadakan di 10 bahagian di Sarawak, pameran mini di IOI Mall Putrajaya dan beberapa lokasi lain di Semenanjung serta Sabah, selain aktiviti seperti kuiz kenegaraan, Kahoot Games dan Pocket Talk serta persembahan kebudayaan.

Erwin berkata sambutan turut merangkumi Majlis Kesyukuran Agama-agama Lain pada 14 Sept di sebuah hotel di Kuching dan Majlis Kesyukuran pada 15 Sept di Masjid Jamek Kuching sebelum acara kemuncak Hari Malaysia pada 16 Sept di Pusat Konvensyen Borneo Kuching. 

“Bagi tahun ini, (sambutan) diadakan di Sarawak kesinambungan kepada prinsip penggiliran yang telah ditetapkan, serta mencerminkan komitmen kerajaan dalam memperkukuh semangat perpaduan, integrasi nasional, kebersamaan dan keterangkuman antara Sarawak, Sabah dan Semenanjung Malaysia,” katanya.

Beliau berkata acara kemuncak itu akan menampilkan persembahan pembukaan bertemakan “Sarawak Maju Makmur Segulai Sejalai”, selain persembahan silat, kumpulan Hadrah, gendang pampat dan tarian singa.

Lebih 50 artis tempatan dari Sarawak akan terlibat dalam persembahan yang menggabungkan elemen tradisional dan kontemporari, bersama artis popular tanah air Dayang Nurfaizah, Faizal Tahir dan Stacy.

Sementara itu, Erwin berkata upacara menandatangani Buku Khas Pengisytiharan Malaysia turut menjadi antara acara istimewa bersempena dengan sambutan itu.

“Buku bersejarah ini juga akan ditandatangani oleh tiga tokoh pemimpin, iaitu Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor dan Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg,” katanya.

Beliau berkata antara 5,000 dan 6,000 tetamu jemputan dijangka menghadiri acara di BCCK, manakala orang ramai di seluruh negara boleh mengikuti sambutan menerusi siaran langsung RTM, platform digital rasmi serta saluran media lain.

“Kita berharap Hari Malaysia 2026 di Sarawak akan menjadi platform penting untuk meraikan semangat perpaduan dan kebersamaan dalam kepelbagaian. Semangat ini amat penting agar negara kita terus bergerak maju ke depan tanpa meninggalkan sesiapa, selaras dengan aspirasi penubuhan awal negara kita ini,” katanya.

-- BERNAMA