Am 07/09/2026 06:40 PM

Hujan Bantu Kualiti Udara Pulau Pinang Pada Tahap Baik, Sederhana

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Hujan Bantu Kualiti Udara Pulau Pinang Pada Tahap Baik, Sederhana
Gambar fail

GEORGE TOWN, 7 Sept (Bernama) -- Keadaan cuaca dipengaruhi hujan berselang-seli membantu mengekalkan kualiti udara di Pulau Pinang pada tahap baik hingga sederhana berdasarkan pemantauan semasa Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Alam Sekitar negeri Datuk Seri S. Sundarajoo dalam kenyataan bagaimanapun berkata bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) di Stesen Minden meningkat ke kategori tidak sihat petang ini.

“Trend pemantauan hari ini sehingga 3 petang menunjukkan Stesen Minden merekodkan bacaan IPU antara 82 hingga 142 manakala tiga lagi stesen pengawasan kualiti udara automatik, iaitu Stesen Seberang Perai, Seberang Jaya dan Balik Pulau mencatatkan bacaan kategori sederhana antara 55 hingga 91,” katanya.

Sundarajoo berkata peningkatan titik panas di Sumatera dan Kalimantan yang menunjukkan terdapat aktiviti kebakaran yang lebih ketara di rantau itu tidak boleh dijadikan satu-satunya petunjuk untuk menentukan tahap kualiti udara di Pulau Pinang.

“Kesan terhadap kualiti udara Pulau Pinang bergantung kepada keadaan meteorologi, khususnya arah dan kelajuan angin, keadaan atmosfera serta taburan hujan,” katanya.

Sehubungan dengan itu, beliau menyeru orang ramai supaya sentiasa merujuk bacaan IPU terkini melalui Sistem Pengurusan Indeks Pencemar Udara (APIMS) dan tidak bergantung kepada maklumat tidak disahkan daripada media sosial.

Sundarajoo turut menasihatkan orang ramai supaya tidak melakukan pembakaran terbuka dan mengurangkan aktiviti fizikal berat di luar jika bacaan IPU meningkat, khususnya bagi kanak-kanak, warga emas serta individu yang mempunyai masalah pernafasan.

-- BERNAMA