KUALA LUMPUR, 7 Sept (Bernama) -- Malaysia dan Thailand akan memperkemas penyelarasan kerjasama antara pelbagai agensi kedua-dua negara, khususnya berkaitan keselamatan dan pembangunan di kawasan sempadan, kata Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan.
Beliau berkata perkara itu antara yang dibincangkan dalam pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Thailand Sihasak Phuangketkeow hari ini, bagi memastikan kerjasama sedia ada dapat diselaraskan dengan lebih baik termasuk dalam usaha membanteras aktiviti penyeludupan.
Mohamad berkata perkara itu penting bagi mengelakkan pertindihan antara agensi kedua-dua negara, yang boleh menyebabkan pembaziran sumber, selain memastikan hasrat pemimpin Malaysia dan Thailand untuk memperkukuh hubungan dua hala dapat diterjemahkan dengan berkesan.
“Kita nak selaraskan supaya kita dapat pastikan, terutamanya dari segi keselamatan sempadan supaya kita tidak ada lagi isu-isu penyeludupan yang merugikan kedua-dua pihak.
“Malaysia rugi, Thailand rugi kerana ada jenis barangan yang diseludup ke Thailand, ada juga jenis barangan daripada Thailand diseludup ke Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menjadi hos Majlis Makan Tengah Hari bersempena dengan lawatan kerja dua hari Sihasak ke Malaysia.
Mohamad berkata kedua-dua pihak turut membincangkan cadangan penyelarasan pembinaan pagar sempadan, dengan Thailand bercadang membina pagar di kawasan yang belum dipagarkan Malaysia bagi mengelakkan pertindihan.
“Di kawasan mana yang kita telah pagar, dia (Thailand) tak akan memagar dan dia akan buat di kawasan yang belum ada pagar. Jadi ini kerjasama dari segi keselamatan dan juga dari segi pengurusan sempadan,” katanya.
Mengenai situasi di Selatan Thailand, beliau berkata Malaysia yang diberikan penghormatan sebagai pemudah cara dalam proses dialog damai akan terus membantu usaha membawa rundingan berkenaan ke fasa yang lebih baik.
Beliau berkata usaha itu penting memandangkan proses rundingan yang telah berlangsung sekian lama masih belum menunjukkan perkembangan yang diharapkan.
“Usaha ini penting bagi memastikan Malaysia dapat membantu dan menyumbang sebagai pemudah cara untuk pastikan supaya kawasan tersebut menjadi kawasan yang aman dan menjadi kawasan pembangunan bersama sempadan Malaysia-Thailand,” katanya
Beliau berkata kedua-dua negara juga bekerjasama menangani masalah banjir di Sungai Golok dan Rantau Panjang, termasuk menerusi kerja mendalamkan sungai serta membina benteng penghadang banjir.
Mohamad berkata Malaysia menerusi Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) turut mendapat persetujuan Thailand untuk melaksanakan kerja pengorekan Sungai Golok sehingga ke muara bagi memastikan aliran air tidak terganggu ketika hujan lebat.
-- BERNAMA