Oleh Nur ‘Aina Syazwina Badrul Hisham
IPOH, 7 Sept (Bernama) -- Pengurusan darah jarang jumpa memerlukan pengenalpastian serta padanan yang tepat bagi memastikan pesakit yang memerlukan transfusi mendapat bekalan darah yang bersesuaian.
Pakar Perubatan Transfusi merangkap Ketua Jabatan Perubatan Transfusi Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Dr Sarah Mat Noh berkata darah dikategorikan sebagai darah jarang jumpa apabila kadar kejadiannya kira-kira satu dalam 1,000 individu dalam sesuatu populasi.
Beliau berkata darah jarang jumpa tidak bermaksud seseorang itu mempunyai masalah kesihatan, sebaliknya merujuk kepada ciri tertentu pada antigen di permukaan sel darah merah yang jarang ditemui dalam sesuatu populasi.
"Darah jarang jumpa lebih sukar diperoleh apabila pesakit memerlukan transfusi kerana bilangan penderma yang mempunyai kumpulan darah sama adalah terhad, justeru daftar penderma dan pesakit diperlukan bagi memudahkan pencarian darah yang sepadan.
"Ciri antigen pada sel darah merah ditentukan secara genetik dan diwarisi daripada ibu atau bapa, menyebabkan sesuatu jenis darah boleh dianggap jarang dalam satu populasi tetapi lebih biasa dalam populasi lain,” katanya pada Program Kembara Kesihatan Bersama Media anjuran Kementerian Kesihatan baru-baru ini.
Dr Sarah berkata kumpulan darah ABO dan Rhesus (Rh) adalah antara yang paling biasa diketahui, manakala terdapat kira-kira 43 sistem kumpulan darah yang dikenal pasti di seluruh dunia.
Bagi darah jarang jumpa, sel darah merah penderma boleh dibekukan di Pusat Darah Negara dan disimpan sehingga 10 tahun untuk digunakan apabila diperlukan, sama ada oleh penderma berkenaan atau pesakit lain yang mempunyai kumpulan darah sama.
Di Perak, antara penderma yang dikenal pasti mempunyai darah jarang jumpa ialah Mohd Fazrey Erwan Mohd Rasidi, 35, yang mempunyai fenotip Opos, R1R1, KK, iaitu gabungan ciri antigen tertentu pada sel darah merah yang jarang ditemui.
Dr Sarah berkata bagi Fazrey, ciri KK bermaksud beliau mempunyai antigen K yang berbeza daripada ciri antigen yang lazim terdapat dalam kebanyakan individu.
Mohd Fazrey Erwan memaklumkan dia hanya mengetahui mempunyai kumpulan darah berkenaan pada hujung tahun lepas selepas dihubungi doktor susulan pemeriksaan darah yang dilakukannya.
"Saya agak terkejut juga mula-mula tahu darah saya rare. Tapi saya rasa bersyukur dan gembira kalau darah saya boleh bantu orang lain," katanya.
Mohd Fazrey Erwan telah menderma darah sebanyak lapan kali sejak 2010, namun belum pernah dipanggil secara khusus jika terdapat pesakit yang memerlukan darahnya.
"Jangan berhenti menderma selagi kesihatan mengizinkan. Darah kita mungkin jarang (dijumpai), tetapi bagi pesakit tertentu, darah kita sangat bernilai dan mungkin boleh menyelamatkan nyawa," katanya.
Sementara itu, dua beradik, Wan Muhammad Faaiz Jazuli dan Wan Muhammad Ashraf Jazuli, masing-masing mempunyai darah Parabombay A dan Parabombay B, yang juga antara kumpulan darah jarang jumpa.
Wan Muhammad Faaiz berkata dia mengetahui mempunyai darah Parabombay A selepas terdapat perbezaan keputusan ketika pemeriksaan darah yang pada awalnya menunjukkan kumpulan A, sebelum ujian makmal menunjukkan kumpulan O.
"Dalam keluarga lima orang, saya dengan abang saya sahaja yang kumpulan darahnya berbeza, manakala yang lain normal," katanya.
Wan Muhammad Faaiz berkata pendermaan darah bagi kumpulan berkenaan bergantung kepada keperluan kerana hospital mungkin tidak memerlukannya secara berkala, namun penderma boleh dipanggil apabila terdapat pesakit yang memerlukan darah sepadan.
Di Perak, setakat ini terdapat empat pesakit berdarah Bombay yang pernah dikenal pasti, manakala lima pesakit Parabombay direkodkan dalam daftar berkenaan.
Dalam pada itu, terdapat empat penderma Parabombay yang dikenal pasti di negeri ini, melibatkan kumpulan Parabombay A, B dan O.
Jabatan Perubatan Transfusi HRPB ialah satu-satunya pusat pemprosesan dan saringan darah di Perak, yang menguruskan proses pendermaan, pemprosesan, saringan, penyimpanan dan pengurusan stok sehingga pembekalan kepada hospital.
Jabatan itu menyediakan sekurang-kurangnya 80 hingga 100 beg darah sehari untuk HRPB dan hingga 200 beg darah bagi keperluan di negeri ini, termasuk hospital swasta di Ipoh.
-- BERNAMA