KUALA LUMPUR, 7 Sept (Bernama) -- Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) terus memperkukuh agenda pemerkasaan pendidikan tinggi negara menerusi penawaran Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP) berjumlah RM1,500 kepada pelajar baharu yang layak bagi membantu menampung sebahagian kos persediaan awal kemasukan ke Universiti Awam (UA) dan politeknik.
PTPTN dalam kenyataan memaklumkan WPP memberi manfaat kepada 26,457 pelajar bagi kemasukan peringkat Ijazah Sarjana Muda di UA dan politeknik sesi September 2026, dengan peruntukan berjumlah RM39.7 juta.
“WPP diberikan kepada pelajar-pelajar warganegara Malaysia yang telah memberikan persetujuan menerima WPP semasa membuat permohonan kemasukan ke Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) melalui UPUOnline atau melalui portal kemasukan UA.
“Selain itu, ibu bapa atau penjaga pelajar juga merupakan penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) serta memenuhi kriteria kelayakan yang telah ditetapkan,” menurut kenyataan itu.
Sejak WPP diperkenal pada tahun 1999 hingga 31 Julai lepas, lebih sejuta pelajar telah menerima manfaat inisiatif itu dengan peruntukan berjumlah RM1.48 bilion.
Menurut agensi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) itu, pelajar boleh membuat semakan tawaran WPP melalui aplikasi myPTPTN dan ditunaikan di kaunter Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) di seluruh negara mulai 4 Sept dengan membawa surat tawaran WPP serta MyKad.
“Tempoh sah laku WPP adalah selama dua bulan bermula 4 Sept hingga 3 Nov 2026,” katanya sambil menambah wakil tidak dibenar menunaikan WPP.
Baru-baru ini, PTPTN turut menyantuni para pelajar yang menerima tawaran WPP menerusi sesi ziarah ke rumah pelajar di Tasek Gelugor, Pulau Pinang diikuti Majlis Penyerahan WPP bagi kawasan Bukit Gelugor, yang disempurnakan oleh Pengerusi PTPTN Datuk Seri Norliza Abdul Rahim.
Menurut kenyataan itu, Norliza dalam ucapannya berkata PTPTN kekal komited memperkukuh agenda pendidikan tinggi dengan memastikan akses kepada pembiayaan pendidikan terus diperkasa dan dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang serta kedudukan sosioekonomi.
“Seiring dengan aspirasi tersebut, WPP PTPTN merupakan antara inisiatif strategik yang dilaksanakan bagi menyediakan sokongan kewangan awal kepada pelajar sekali gus membantu meringankan beban kewangan keluarga dalam membuat persiapan dan memenuhi keperluan asas sebelum pelajar memulakan pengajian di UA dan politeknik,” katanya.
PTPTN turut memaklumkan pelajar yang ingin memohon pinjaman boleh berbuat demikian secara dalam talian menerusi aplikasi myPTPTN mengikut tempoh yang ditetapkan oleh setiap UA dan politeknik bagi memastikan ia dapat diproses serta diluluskan sewajarnya.
Menurut agensi itu, pelajar perlu mempunyai akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN) yang boleh dibuka melalui aplikasi myPTPTN dan boleh merujuk kepada Bahagian Hal Ehwal Pelajar UA dan politeknik masing-masing atau terus menghubungi PTPTN sekiranya terdapat sebarang pertanyaan.
Maklumat lanjut berkaitan WPP dan pinjaman PTPTN juga boleh diperoleh melalui aplikasi myPTPTN untuk perkhidmatan yang lebih mudah, cepat serta selamat.
-- BERNAMA