Am 07/09/2026 04:22 PM

Empat Kali Daki Bukit Hantu Demi Kibarkan Jalur Gemilang Gergasi

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Empat Kali Daki Bukit Hantu Demi Kibarkan Jalur Gemilang Gergasi
Penduduk Kampung Bukit Hantu memasang Jalur Gemilang gergasi di puncak Bukit Hantu selepas menempuh laluan sempit, cerun curam serta permukaan berbatu tajam dan licin di sini hari ini.

JITRA, 7 Sept (Bernama) -- Laluan sempit, cerun curam serta permukaan berbatu tajam dan licin bukan penghalang bagi sekumpulan Komuniti Kampung Bukit Hantu untuk mengibarkan Jalur Gemilang gergasi di puncak Bukit Hantu, di sini.

Demi merealisasikan hasrat itu, mereka terpaksa mengulangi pendakian sebanyak empat kali selepas tiang bendera yang digunakan patah akibat dilanda angin ribut.

Pengerusi Komuniti Kampung Bukit Hantu, Arif Fazilah Abdullah berkata cabaran itu tidak mematahkan semangat penduduk untuk membawa bendera berukuran 15 kaki lebar dan 30 kaki panjang ke puncak bukit setinggi 120 meter dari paras laut itu.

“Usaha membawa naik bendera bersama tiang memang sukar kerana laluan menuju ke puncak berbatu, curam dan sempit.

“Kami pada mulanya menggunakan tiang kayu, namun patah sebanyak empat kali akibat ribut. Akhirnya, kami menggunakan tiang besi sepanjang 10 meter yang perlu diusung beberapa penduduk tanpa peralatan khusus,” katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Bukit Hantu, Kodiang sini hari ini.

Beliau berkata kegigihan penduduk akhirnya membuahkan hasil apabila Jalur Gemilang gergasi itu berjaya dipasang dan dikibarkan di puncak bukit, sekali gus menyemarakkan lagi semangat patriotik sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2026.

Jalur Gemilang itu dihasilkan secara gotong-royong apabila penduduk bersama-sama menjahit dan mengecat sebelum membawanya ke puncak, katanya.

Sementara itu, penduduk, Johari Mohd Said, 65, berkata semangat tidak mengenal jemu dalam kalangan golongan muda menjadi antara faktor utama kejayaan usaha berkenaan.

“Saya bersyukur dengan semangat anak-anak muda di kawasan Bukit Hantu yang tidak putus asa sehingga hari ini kita dapat melihat bendera Malaysia berdiri megah di puncak,” katanya.

Bagi seorang lagi penduduk, Mohd Firdaus Marzuki, 37, usaha itu memberikan pengalaman baharu kepada komuniti kerana sebelum ini mereka tidak pernah memasang bendera bersaiz sedemikian di puncak bukit.

“Semangat hendak mencuba sesuatu yang baharu mendorong kami untuk buat. Kami sendiri tidak pernah pasang bendera sebesar ini di atas puncak,” katanya.

Jalur Gemilang gergasi itu kini berkibar megah di puncak Bukit Hantu, menjadi simbol kegigihan, keberanian dan kesepakatan komuniti dalam menyemarakkan semangat cintakan negara sempena Hari Malaysia.

-- BERNAMA