KUALA LUMPUR, 7 Sept (Bernama) -- Kadar tambang perkhidmatan penumpang Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) belum dimuktamadkan dengan pengumuman rasmi mengenainya akan dibuat menjelang akhir tahun ini, menurut Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL).
MRL dalam hantaran Facebook ECRL hari ini memaklumkan maklumat kadar tambang yang kembali tular di media sosial baru-baru ini adalah tidak tepat serta tidak pernah disahkan oleh mana-mana pihak berkuasa.
Syarikat itu memaklumkan tambang rasmi perkhidmatan penumpang ECRL hanya akan diumumkan oleh Kementerian Pengangkutan (MOT) setelah proses penilaian dan kelulusan berkaitan dimuktamadkan.
“Insya-Allah, penetapan kadar tambang ECRL kelak akan mengambil kira kepentingan rakyat, kemampuan pengguna serta nilai dan kualiti perkhidmatan yang ditawarkan,” menurut hantaran itu.
MRL menasihati orang ramai supaya tidak membuat andaian atau kesimpulan berdasarkan maklumat yang tidak disahkan, sebaliknya merujuk kepada pengumuman melalui saluran rasmi MOT, MRL dan ECRL.
Pengoperasian ECRL dijangka membolehkan perjalanan antara Kota Bharu, Kelantan dan Gombak, Selangor mengambil masa kira-kira empat jam, Kuala Terengganu, Terengganu dan Gombak (tiga jam) serta Kuantan, Pahang dan Gombak (satu jam 35 minit).
“ECRL bukan sahaja menawarkan pilihan pengangkutan baharu kepada rakyat, malah akan membawa perubahan besar kepada mobiliti antara Pantai Timur dan Lembah Klang,” menurut hantaran itu.
Fasa pertama ECRL dari Kota Bharu ke Gombak dijangka beroperasi pada Disember ini.
-- BERNAMA