Am 07/09/2026 05:32 PM

Kejayaan Murid LIS Pada Pertandingan Bahasa Inggeris Global Banggakan Sekolah, Malaysia

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Kejayaan Murid LIS Pada Pertandingan Bahasa Inggeris Global Banggakan Sekolah, Malaysia
Kredit : Labuan International School (LIS)

LABUAN, 7 Sept (Bernama) -- Sekolah Antarabangsa Labuan (LIS) melakar nama di persada antarabangsa selepas muridnya Keeona Mark Phillips, 9, merangkul tempat kedua dalam pertandingan JOEY - The Young Kangaroo International English Competition Global Finals di Istanbul, Turkiye.

Pengetua LIS Fadlin Aimuni berkata kejayaan itu bukan sahaja membanggakan sekolah, malah turut mengharumkan nama Malaysia apabila hanya 14 peserta termasuk Keeona mewakili negara ke peringkat akhir global itu.

“Pencapaian ini satu kebanggaan besar buat LIS dan juga Malaysia. Keeona membuktikan bahawa dengan keyakinan, dedikasi dan keazaman, murid kita mampu bersaing dan mencapai kejayaan di pentas global,” katanya kepada Bernama, hari ini.

Keeona, yang bertanding dalam kategori Pre A1, Gred 3 turut menerima Anugerah Joey of the Year kerana menjadi peserta paling aktif sepanjang pertandingan yang berlangsung dari 1 hingga 6 Sept itu.

Peringkat akhir global tersebut menghimpunkan 300 peserta dari 34 negara.

Kejayaan meraih tempat kedua dan Anugerah Joey of the Year menjadikan penyertaan sulung Keeona dalam pertandingan JOEY itu satu pencapaian yang amat membanggakan di pentas antarabangsa.

JOEY ialah pertandingan bahasa Inggeris antarabangsa yang menyediakan platform kepada pelajar untuk menunjukkan penguasaan bahasa Inggeris, keyakinan diri dan kemahiran komunikasi menerusi pelbagai kategori.

Fadlin berkata kejayaan Keeona turut mencerminkan usaha sekolah berkenaan dalam membentuk murid yang berkeyakinan, berkebolehan dan bersedia merebut peluang di luar bilik darjah.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada ibu bapa Keeona, Mark Phillips dan Cecilia, yang memainkan peranan penting dalam membina keyakinan anak mereka untuk menyahut cabaran pada peringkat antarabangsa.

-- BERNAMA