Am 07/09/2026 04:19 PM

Fadhlina Bangga Murid Tahun Lima Raih Kejayaan Pidato Umum Pada Pentas Antarabangsa

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Fadhlina Bangga Murid Tahun Lima Raih Kejayaan Pidato Umum Pada Pentas Antarabangsa
Kredit: Fb Fadhlina Sidek

NIBONG TEBAL, 7 Sept (Bernama) -- Menteri Pendidikan Datuk Seri Fadhlina Sidek berbangga dengan kejayaan murid Tahun Lima Sekolah Kebangsaan (SK) Permatang Tok Mahat, Nur Aamily Saffiya Muhd Zabari Izyan yang mencatat kejayaan dalam pertandingan pidato umum di Dubai dan United Kingdom, baru-baru ini.

Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal menyifatkan kejayaan Nur Aamily, 11, yang mampu melangkah ke pentas antarabangsa pada usia muda sebagai keyakinan yang perlu diterapkan dalam diri murid yang berani mencuba, bercakap dan meneroka ruang baharu.

"Februari lepas dia berucap di Dubai dan pulang dengan pingat perak. Ogos, dia terbang pula ke University of Surrey di United Kingdom. Kali ini bukan sahaja menang emas Public Speaking (pidato umum), malah menjadi antara tiga peserta terbaik keseluruhan bagi kategori Bahasa Inggeris.

"Sebagai Menteri Pendidikan, inilah keyakinan yang kita mahu tumbuhkan dalam diri anak-anak kita. Sebagai Ahli Parlimen Nibong Tebal pula, saya tumpang bangga. Ini anak kita,” katanya menerusi hantaran Facebook hari ini, selepas menyantuni murid berkenaan.

Dalam pertemuan itu, beliau turut menyampaikan sebuah iPad kepada Nur Aamily bagi membantu pembelajarannya dan diharap dapat menjadi teman untuk murid berkenaan terus meneroka lebih banyak perkara.

Beliau berkata kejayaan murid itu bukan sahaja diukur menerusi pingat yang dibawa pulang, sebaliknya mencerminkan luasnya peluang yang boleh diterokai murid itu pada usia muda.

“Saya suka melihat anak-anak begini. Bukan semata-mata kerana pingat yang dibawa pulang, tetapi kerana pada usia 11 tahun, dunianya sudah begitu luas untuk diteroka,” katanya.

Fadhlina turut berharap Nur Aamily terus melangkah jauh dan mencapai lebih banyak kejayaan pada masa hadapan.

Terdahulu, kisah kejayaan Nur Aamily mendapat perhatian meluas susulan laporan mengenai murid itu yang memenangi pingat emas kategori pidato umum pada pertandingan iWISE London Global Final 2026 di University of Surrey.

Dalam pertandingan yang menghimpunkan kira-kira 500 peserta dari 29 negara itu, Nur Aamily turut menduduki tempat ketiga bagi anugerah Best Performer, selepas bersaing dengan 50 peserta.

Perjalanannya ke pentas antarabangsa bermula dengan menyertai pusingan kelayakan di Malaysia secara dalam talian, sebelum layak ke Final Dubai Global pada Februari lepas, yang menyaksikannya membawa pulang pingat perak.

-- BERNAMA