Am 07/09/2026 04:13 PM

Kerajaan N.Sembilan Akan Tambah Baik Pavilion Di MAHA Akan Datang - Exco

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Kerajaan N.Sembilan Akan Tambah Baik Pavilion Di MAHA Akan Datang - Exco
Kredit: Fb Razali Abu Samah

SEREMBAN, 7 Sept (Bernama) -- Kerajaan Negeri Sembilan akan menambah baik penyertaan dalam Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) pada masa akan datang, dengan meneliti semula konsep, reka bentuk, persembahan dan kandungan dalam mengetengahkan identiti negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan dan Warisan negeri Datuk Razali Abu Samah berkata beliau menerima pelbagai pandangan dan teguran orang ramai berhubung pavilion Negeri Sembilan di MAHA 2026 yang berlangsung di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) baru-baru ini.

Beliau berkata pavilion 'kekal' Negeri Sembilan di MAHA itu merupakan projek yang diperuntukkan melalui Belanjawan Negeri Sembilan 2025, diluluskan dan dimulakan di bawah pentadbiran sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) lepas dengan kos keseluruhan RM3 juta.

"MAHA 2026 merupakan platform besar untuk kita memperkenalkan makanan, usahawan, produk tempatan, teknologi pertanian, industri asas tani, budaya, warisan, pelancongan, agropelancongan serta peluang ekonomi negeri...jadi setiap teguran dan pandangan masyarakat kita terima untuk penambahbaikan," katanya dalam Facebook di sini hari ini.

Terdahulu tular di Thread mengenai pavilion Negeri Sembilan di MAHA 2026 yang dikatakan tidak menarik perhatian berbanding pavilion negeri lain sehingga mencetuskan perdebatan.

-- BERNAMA