KUALA LUMPUR, 29 Ogos (Reuters) -- Nepal menggantung operasi mencari dan menyelamat (SAR) pada Sabtu berikutan cuaca buruk dan memaklumkan negara itu memerlukan bantuan teknikal asing untuk menangani banjir yang membawa kemusnahan di kawasan bersempadan dengan Tibet, lapor Reuters.
Negara miskin di kawasan Himalaya yang mempunyai 30 juta penduduk itu juga memerlukan kira-kira US$4 bilion hingga US$5 bilion untuk pembinaan semula susulan kemusnahan akibat banjir pada Rabu, menurut Menteri Kewangannya kepada Reuters.
Dicetuskan oleh runtuhan glasier, aliran deras yang membawa batu, ais, lumpur dan puing meluru melalui sistem sungai di kawasan pergunungan pada Rabu, mengorbankan sekurang-kurangnya 626 orang di Nepal dan tujuh di Tibet, China, selain menghanyutkan bangunan, jambatan dan stesen janakuasa yang dilaluinya.
Hampir 3,000 orang masih hilang, iaitu kira-kira 2,426 di Nepal dan sekurang-kurangnya 554 di Daerah Gyirong, Tibet, termasuk sekurang-kurangnya 540 warga asing, kebanyakannya penziarah Hindu dari India.
Mayat reput, tidak dapat dikenal pasti akan dikebumikan
"Operasi SAR dihentikan sementara kerana hujan dan cuaca berkabus," kata pegawai kanan pentadbiran bagi Daerah Rasuwa yang terjejas teruk, Narendra Pariyar kepada Reuters.
Beliau berkata tumpuan kini diberikan kepada usaha menyediakan pengangkutan darat untuk membawa penziarah yang diselamatkan ke ibu negara, Kathmandu.
Memandangkan kematian akibat banjir itu berlaku tiga hari lalu, pihak berkuasa memaklumkan beberapa mayat yang ditemukan kini sudah reput sehingga tidak dapat dikenal pasti.
Mayat berkenaan akan dikebumikan selepas prosedur undang-undang selesai berikutan risiko kesihatan dan kebimbangan tercetusnya wabak.
"Sampel DNA akan diambil dan mayat akan dikebumikan di kawasan lapang," menurut pentadbiran Daerah Chitwan dalam satu notis.
Di Kathmandu, ahli keluarga mangsa yang masih hilang berkumpul di luar Kampus Perubatan Maharajgunj, lokasi beberapa mayat dibawa.
Ramai cuba mengenal pasti ahli keluarga masing-masing menerusi gambar mayat yang dibawa ke situ, dengan gambar berkenaan ditampal atau digantung pada pintu pagar dan tembok premis.
Pegawai memaklumkan hanya tujuh daripada 49 mayat yang dibawa ke hospital itu berjaya dikenal pasti.
Risiko limpahan air tasik berkurang
Pihak berkuasa turut menggantung sementara operasi SAR pada Jumaat apabila sebuah tasik yang terbentuk di kawasan sempadan Nepal-China selepas banjir mula melimpah ke Sungai Lhende Khola dan Trishuli di Nepal.
Menjelang Sabtu, risiko tasik itu melimpah telah berkurang, menurut pihak berkuasa China.
Imej satelit menunjukkan air tasik itu mengalir keluar secara perlahan-lahan, sekali gus mengurangkan takungan secara beransur-ansur, lapor penyiar negara CCTV.
Tasik itu merupakan satu daripada dua tasik di hulu kawasan banjir yang sedang dipantau Nepal.
Seorang pegawai memberi amaran bahawa risiko banjir akan berterusan sehingga air di kedua-dua tasik itu mengalir keluar sepenuhnya.
Menteri Luar Nepal Shisir Khanal berkata negara itu tidak memerlukan bantuan bagi operasi SAR, namun memerlukan bantuan untuk menyelamatkan mereka yang terperangkap di dalam terowong, membuka semula laluan pengangkutan dan memulihkan rangkaian perhubungan di kawasan yang jambatannya musnah, mengenal pasti mayat, menjalankan ujian DNA serta menyimpan mayat untuk tempoh lebih lama.
"Kami sudah memohon perkhidmatan khusus dan bantuan teknikal seumpama itu dalam bidang yang kami tidak mempunyai kepakaran serta pengetahuan teknikal yang mencukupi," katanya kepada Reuters lewat Jumaat.
China seru kerjasama antarabangsa
New Delhi telah menghantar tiga penerbangan membawa kira-kira 60 tan bekalan bantuan ke Nepal termasuk selimut, ubat-ubatan, makanan dan tablet penulenan air serta merancang menghantar pasukan penyelamat terowong dan pasukan perubatan.
India turut menawarkan pasukan tindak balas bencana dan jambatan pasang siap, selain pasukan teknikal bagi membantu memulihkan kesalinghubungan, menurut Kementerian Luar.
Beijing pula menyeru bantuan kecemasan disalurkan ke kawasan terjejas bencana di Nepal serta kerjasama antarabangsa dalam operasi SAR, tanpa memperincikan bantuan yang akan dihantar China ke Nepal.
Menteri Kewangan Swarnim Wagle memberitahu Reuters bahawa anggaran awal Kathmandu menunjukkan negara itu memerlukan antara US$4 bilion hingga US$5 bilion untuk pembinaan semula.
"Ini hanya anggaran. Kerugian dan kerosakan sedang dinilai," katanya.
Pihak berkuasa China turut bertungkus-lumus mengesan lebih 500 orang yang masih hilang selepas banjir itu.
Pasukan penyelamat pada Jumaat tiba di kompleks lintasan sempadan Gyirong yang paling teruk terjejas selepas merentasi kawasan pergunungan dan lembah serta menggunakan tali untuk meredah hutan dan cenuram berikutan jalan menuju ke kompleks itu musnah. Kompleks berkenaan dikelilingi cerun Himalaya yang curam.
Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lintasan itu menunjukkan arus deras membawa puing melanda bangunan ketika banjir berlaku, manakala orang ramai cuba menyelamatkan diri.
-- REUTERS