KUALA TERENGGANU, 29 Ogos (Bernama) -- Deretan kerusi di ruang terbuka, layar putih yang terbentang dan cahaya projektor yang menerangi malam mengembalikan nostalgia hiburan masyarakat suatu ketika dahulu menerusi program Wayang Pacak bersempena dengan Bulan Kebangsaan anjuran Kelab Wartawan Media Terengganu (KAWAT).
Program yang berlangsung dalam suasana santai itu bukan sekadar memberikan peluang kepada masyarakat menikmati tayangan filem secara terbuka, malah menghidupkan kembali kenangan generasi terdahulu yang pernah menjadikan wayang pacak sebagai antara hiburan utama di kampung-kampung.
Presiden KAWAT Ahmad Syafri Husnaini Mohamad berkata penganjuran program berkenaan adalah antara usaha menyatukan masyarakat selain menyemarakkan sambutan Bulan Kebangsaan menerusi aktiviti yang mempunyai nilai nostalgia dan kebersamaan.
"Tujuan program adalah untuk menyemai semangat patriotik dalam kalangan masyarakat, terutama generasi muda dan menyemarakkan semangat cintakan keamanan dan negara. Kita mahu menghidupkan kembali suasana wayang pacak yang suatu ketika dahulu menjadi hiburan masyarakat.
“Pada masa sama, program ini menjadi ruang untuk kita menyemarakkan Bulan Kebangsaan dengan cara yang santai, tetapi dekat dengan masyarakat menerusi tayangan berunsur kemerdekaan kepada orang ramai,” katanya selepas program Wayang Pacak Ayuh Semarakkan Bulan Kemerdekaan di padang Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), di sini pada malam tadi.
Ahmad Syafri berkata wayang pacak juga mempunyai nilai tersendiri kerana mampu menghimpunkan masyarakat tanpa mengira usia untuk berinteraksi dan meluangkan masa bersama.
"Dalam era hiburan digital yang lebih mudah diakses menerusi telefon pintar dan platform penstriman, wayang pacak menawarkan pengalaman berbeza apabila masyarakat kembali duduk bersama, berkongsi cerita dan menikmati hiburan dalam ruang terbuka.
"Penganjuran itu sekali gus membuktikan bahawa elemen nostalgia masih mempunyai tempat dalam masyarakat, malah boleh diketengahkan semula dalam bentuk yang bersesuaian dengan generasi masa kini bagi menyemarakkan semangat Bulan Kebangsaan," katanya.
Seorang pengunjung, Razali Abd Rahman, 58, berkata program berkenaan mengimbau kembali kenangan zaman kanak-kanaknya ketika wayang pacak menjadi antara hiburan yang dinanti-nantikan penduduk setempat.
“Saya pernah menonton wayang pacak ketika kecil dan suasana malam ini benar-benar mengimbau kembali kenangan lama. Dahulu, kami duduk beramai-ramai bersama dengan jiran dan kawan-kawan, jadi program seperti ini membuatkan saya seolah-olah kembali ke zaman tersebut serta mengembalikan nostalgia pada zaman dahulu,” katanya.
Seorang lagi pengunjung, Hazwani Nuh, 32, berkata pengalaman menonton wayang pacak secara terbuka memberikan suasana berbeza berbanding menonton filem di pawagam.
“Ini kali pertama saya tengok wayang pacak secara langsung. Menarik, sebab suasananya berbeza daripada menonton wayang di pawagam. Orang ramai duduk bersama-sama, berbual dan menikmati tayangan dalam suasana santai,” katanya.
Muhammad Syauqi Arman Azizul, 14, pula berkata peluang merasai sendiri pengalaman yang diceritakan oleh ibu bapanya sebelum ini amat berharga.
“Sebelum ini, saya hanya mendengar cerita daripada ibu bapa mengenai wayang pacak. Apabila berpeluang merasainya sendiri, barulah saya faham mengapa hiburan itu begitu dekat dengan kenangan generasi terdahulu,” katanya.
Bagi pesara kerajaan, Zaliha Othman, 60, pemilihan filem patriotik untuk ditayangkan sangat bersesuaian dengan suasana negara menyambut Bulan Kebangsaan, selain memberikan peluang kepada masyarakat mengimbau kembali nostalgia menonton wayang pacak.
“Bagi saya, wayang pacak ini cukup menarik kerana kita dapat menonton filem bersama-sama dalam suasana terbuka. Pada masa sama, filem patriotik yang dipilih dapat menyemarakkan lagi semangat cinta akan negara pada Bulan Kebangsaan ini.
“Anak-anak sekarang mungkin tidak pernah merasai pengalaman seperti ini, jadi program sebegini memberikan peluang kepada mereka untuk mengenali antara bentuk hiburan popular masyarakat suatu ketika dahulu,” katanya.
-- BERNAMA