Am 29/08/2026 11:55 AM

Jalur Gemilang Sentiasa Berkibar, Semangat Patriotik Peniaga Sepanjang Tahun

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Jalur Gemilang Sentiasa Berkibar, Semangat Patriotik Peniaga Sepanjang Tahun
Peniaga makanan, Nor Ashikin Shafie, 42, (kiri) bersama anaknya, Fatin Humairah Aziz, 18, menyiapkan hiasan di rumah mereka sempena sambutan Bulan Kebangsaan di Kampung Baru Tok Dor di sini. Nor Ashikin berkata hiasan bertemakan kemerdekaan bukan sekadar menceriakan kediaman, malah menjadi cara tersendiri untuk menyemarakkan semangat patriotik, sehingga Jalur Gemilang terus menghiasi rumahnya sepanjang tahun tanpa mengira musim sambutan. --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA

Oleh Mohd Taha Yaacob

JERTIH, 29 Ogos (Bernama) -- Setiap kali melangkah masuk ke halaman rumahnya, mata pasti tertumpu pada kibaran Jalur Gemilang yang menghiasi segenap ruang seolah-olah suasana Bulan Kebangsaan diraikan setiap hari oleh seorang peniaga makanan di sini.

Selepas berkahwin dan berpindah ke rumah sendiri lebih dua dekad lepas, Nor Ashikin Shafiee, 42, menjadikan hiasan bertemakan semangat patriotik sebagai sebahagian daripada rutin kehidupan, dengan kediamannya di Kampung Baru Tok Dor di sini dihiasi Jalur Gemilang dan pelbagai hiasan berwarna-warni.

Dia berkata minat menghias kediaman itu bukan sekadar untuk menceriakan suasana rumah sebaliknya menjadi cara tersendiri bagi menyemarakkan semangat cintakan negara dalam kehidupan seharian.

“Hampir semua hiasan ini kekal terpasang sepanjang tahun dan hanya ditukar apabila sudah lusuh manakala menjelang Bulan Kebangsaan, saya akan menggantikannya dengan hiasan baharu bagi menyemarakkan lagi suasana kemerdekaan. 

“Sempena bulan kemerdekaan tahun ini, saya membelanjakan lebih RM1,000 termasuk menukar lebih 80 meter kain, langsir, puluhan payung, bendera dan pelbagai aksesori lain untuk menceriakan rumah,” kata Nor Ashikin ketika ditemui di rumahnya baru-baru ini.

Ibu kepada dua anak itu berkata minat menghias rumah dan memastikan kawasan persekitaran sentiasa bersih diwarisi daripada bapa yang sejak kecil mendidiknya dan seorang lagi adik perempuan supaya menjaga kebersihan serta keceriaan kediaman.

Nor Ashikin juga menjahit sendiri sebahagian hiasan termasuk langsir mengikut tema warna yang ditetapkan setiap tahun.

Dia berkata persiapan menghias rumah sempena Bulan Kebangsaan tahun ini dilakukan secara berperingkat sejak awal bulan dengan memilih warna merah, putih, biru dan kuning sebagai tema utama bagi menyerlahkan suasana patriotik.

“Saya turut menyertai pertandingan menghias rumah sempena bulan kemerdekaan yang sudah tiga kali dianjurkan oleh pengurusan Kampung Baru Tok Dor, dan saya tetap meneruskan minat menghias rumah kerana bagi saya ia sudah menjadi rutin,” katanya.

Nor Ashikin berkata walaupun pendapatan sebagai peniaga makanan tidak menentu, dia tetap memperuntukkan sebahagian daripadanya untuk membeli atau menggantikan hiasan yang sudah lusuh.

Wanita itu berkata suami dan anak-anak juga memahami dan menyokong minatnya malah mereka tidak menganggap perbelanjaan menghias rumah sebagai satu pembaziran.

“Setiap hari saya akan memperuntukkan kira-kira sejam untuk membersihkan kawasan rumah dan memastikan hiasan dalam serta luar rumah sentiasa kemas sebelum keluar berniaga. 

“Saya gembira apabila rumah ini sering menjadi tumpuan orang ramai untuk bergambar terutama ketika musim perayaan, dan kini pula sempena bulan kemerdekaan,” katanya. 

Bagi Nor Ashikin, hiasan bertemakan semangat patriotik yang memenuhi kediamannya bukan sekadar mencantikkan rumah tetapi juga menjadi peringatan untuk terus menyemai rasa cinta kepada negara dalam kehidupan seharian.

-- BERNAMA