KUALA LUMPUR, 29 Ogos (Bernama) -- Halal Development Corporation Bhd (HDC) menerajui delegasi sebanyak 15 pengeksport dengan pensijilan halal Malaysia ke Fi South America 2026 di Sao Paulo ketika eksport halal Malaysia ke Brazil mencecah RM860.45 juta pada 2025 berbanding RM510.82 juta pada 2023.
Dalam kenyataan hari ini, agensi di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) itu memaklumkan penyertaan dalam pameran yang berlangsung pada 4 hingga 6 Ogos 2026 di Sao Paulo Expo Convention Centre itu adalah di bawah Malaysia Global Halal Show (MGHS) 2.0.
Program selama tiga hari itu turut melibatkan sesi perniagaan kepada perniagaan (B2B) yang diatur awal selain libat urus, promosi produk dan jaringan perniagaan serta menyalurkan maklumat kepada syarikat yang mengambil bahagian mengenai pilihan pengguna Brazil, keperluan kawal selia, saluran pengedaran serta jangkaan pembeli.
“Antara sasaran program itu termasuk sekurang-kurangnya 15 pertemuan B2B dan menjana potensi jualan RM200 juta,” maklum agensi itu.
Pada masa sama, peluang itu turut membolehkan HDC memperkukuh hubungan institusi dengan pemain utama dalam ekosistem halal Brazil, termasuk FAMBRAS Halal dan CDIAL Halal selain menghubungkan pihak berkepentingan halal Brazil dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dalam perkara berkaitan pensijilan dan tadbir urus halal serta pejabat Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) di Sao Paulo bagi memudah cara akses pasaran.
Penolong Pengurus Besar bagi Kerjasama Antarabangsa HDC Mohamed Romzi Sulaiman berkata penyertaan HDC dalam Fi South America itu bukan setakat mempamerkan produk Malaysia.
“Ini bagi mewujudkan hubungan bermakna antara pengeksport produk halal Malaysia dengan pembeli antarabangsa selain memperkukuh kepercayaan, akses pasaran dan kerjasama institusi yang diperlukan bagi membangunkan perdagangan halal yang mampan,” katanya.
Selain itu, HDC menyatakan inisiatif sedemikian turut menyokong objektif Pelan Induk Industri Halal (HIMP) 2030, terutama dalam memperkukuh kedudukan Malaysia di pentas pasaran halal global, memperluas akses pasaran antarabangsa serta meningkatkan penyertaan perniagaan halal Malaysia dalam pasaran berpotensi tinggi.
Menurutnya, menerusi inisiatif pembangunan pasaran disasarkan seperti Fi South America 2026, HDC juga dapat terus memacu aspirasi HIMP 2030 untuk menonjolkan Malaysia sebagai hab industri halal global yang terkemuka.
Sehubungan itu, HDC menyifatkan Brazil dilihat sebagai pintu masuk strategik bagi Malaysia ke pasaran Amerika Selatan berikutan ekonomi makanan dan perniagaan pertanian yang besar serta hubungan kukuh dengan pasaran Arab serta negara majoriti penduduk Islam.
“Eksport halal Malaysia ke Brazil melonjak daripada RM510.82 juta pada 2023 kepada RM860.45 juta pada 2025 (secara awal) yang menunjukkan potensi semakin ketara untuk memperkukuh perdagangan halal dua hala,” maklum HDC.
Agensi itu memaklumkan, pihaknya akan terus menyokong menerusi usaha susulan dengan bakal pembeli dan rakan niaga yang dikenal pasti menerusi program itu dalam usaha mengubah prospek perniagaan kepada peluang komersial jangka panjang serta memperkukuh hubungan industri halal Malaysia-Brazil.
-- BERNAMA