GEORGE TOWN, 28 Ogos (Bernama) -- Batik Air akan membuka laluan penerbangan terus Batam-Pulau Pinang mulai 18 Okt depan, sekali gus membuka akses baharu kepada Pulau Pinang untuk meneroka pasaran pelancongan di Kepulauan Riau, Indonesia.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri, Wong Hon Wai berkata laluan itu yang merupakan penerbangan terus berjadual pertama menghubungkan Batam dengan Pulau Pinang akan beroperasi tiga kali seminggu.
“Laluan ini membuka peluang kepada Pulau Pinang untuk meneroka pasaran pelancongan serantau baharu di Kepulauan Riau dan merupakan langkah penting dalam usaha memperluas pangkalan pasaran pelancongan Indonesia serta meneroka sumber pelancong baharu yang berpotensi besar,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata Batam, yang terletak kira-kira 30 kilometer di selatan Singapura merupakan antara pusat ekonomi, perindustrian, perdagangan dan pelancongan penting di Kepulauan Riau serta mempunyai kedudukan strategik dalam hubungan serantau Malaysia, Indonesia dan Singapura.
Wong berkata Indonesia sememangnya antara pasaran pelancongan antarabangsa utama Pulau Pinang dengan jumlah pelancong dari negara itu secara konsisten berada di kedudukan teratas dalam kalangan pasaran antarabangsa negeri ini.
Beliau berkata bagi tempoh Januari hingga Julai tahun ini, sebanyak 201,657 pelancong Indonesia memasuki Pulau Pinang melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) berbanding 192,823 orang bagi tempoh sama tahun lepas, meningkat 4.58 peratus.
Wong berkata sebelum ini antara bandar utama Indonesia yang lebih dikenali sebagai pasaran pelancongan Pulau Pinang ialah Medan, Jakarta, Surabaya dan Banda Aceh, manakala laluan baharu itu membolehkan negeri berkenaan memperluaskan jangkauan ke Kepulauan Riau.
Beliau berkata laluan Batam-Pulau Pinang turut mempunyai potensi baik untuk menyokong perkembangan sektor pelancongan perubatan negeri itu memandangkan Pulau Pinang mempunyai kemudahan perubatan lengkap, perkhidmatan kesihatan profesional dan ekosistem pelancongan perubatan yang matang.
“Dengan wujudnya hubungan udara secara terus antara Batam dan Pulau Pinang, kita mempunyai ruang untuk terus membuka potensi pasaran pelancongan perubatan Kepulauan Riau serta menukarkan aliran penumpang kepada manfaat ekonomi dan perbelanjaan pelancongan yang lebih meluas,” katanya.
Wong berkata pembukaan laluan berkenaan juga menambah satu lagi komponen penting dalam rangkaian penerbangan Asia Tenggara Pulau Pinang, terutama ketika pasaran jarak dekat ASEAN memainkan peranan penting dalam menyokong kestabilan industri pelancongan.
Penerbangan OD359 dari Lapangan Terbang Antarabangsa Hang Nadim, Batam akan berlepas pada 11.30 pagi waktu tempatan dan tiba di LTAPP pada 1.55 tengah hari.
Bagi perjalanan dari Pulau Pinang ke Batam, penerbangan OD358 dijadual berlepas pada 10.10 pagi dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Hang Nadim pada 10.50 pagi waktu tempatan, dengan tempahan tiket bagi laluan berkenaan kini dibuka menerusi laman web rasmi Batik Air.
– BERNAMA