GEORGE TOWN, 28 Ogos (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini memulakan lawatan kerja dua hari ke Pulau Pinang yang padat dengan pelbagai pengisian melibatkan pertemuan bersama-sama pelajar, komuniti Islam dan masyarakat setempat.
Lawatan kerja berkenaan dimulakan dengan solat Jumaat di Masjid Sembilang, Butterworth pada 1.30 tengah hari sebelum menghadiri sesi Temu Anwar Bersama Pelajar bersempena dengan Program Ambang Merdeka Sahabat MADANI di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Tuanku Bainun, Bukit Mertajam pada 4 petang.
Majlis yang turut dihadiri Menteri Pendidikan Datuk Seri Fadhlina Sidek itu memberikan peluang kepada golongan pelajar untuk berinteraksi secara terus dengan pemimpin nombor satu negara itu.
Mengakhiri agenda hari pertama, Perdana Menteri dijadualkan menghadiri majlis Maulid Akbar bersempena dengan Hari Kebangsaan di Masjid Jamek Tengah Berapit, Bukit Mertajam pada 9 malam.
Lawatan kerja itu diteruskan esok dengan Anwar dijadualkan merasmikan Program Skim Usahawan Bangkit Permatang Pauh di Dewan Yayasan Aman Penanti, Kubang Semang pada 10 pagi.
Beliau kemudiannya dijadualkan menghadiri Program Tadabbur Perdana Peringkat Nasional dan Program Maidah Wanita MADANI Permatang Pauh di Masjid Muhajirin, Seberang Jaya pada 11.30 pagi.
Pada sebelah petang, Menteri Kewangan itu dijadualkan merasmikan Jambori Pengakap Malaysia ke-15 (MYJAM15) di Stadium Negeri Pulau Pinang, Batu Kawan yang menghimpunkan lebih 5,450 pengakap tempatan dan antarabangsa dari 11 negara termasuk Korea Selatan, Indonesia, Singapura dan Sri Lanka.
Penganjuran jambori kali ini melakar sejarah tersendiri apabila acara kebangsaan itu kembali ke Pulau Pinang selepas 60 tahun, sejak negeri itu menjadi tuan rumah pertama di Teluk Bahang pada 1966.
Anwar kemudiannya akan menghadiri Program Kemuncak Ambang Merdeka Sahabat MADANI 2026 di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Permatang Pauh pada 4 petang, sekali gus mengakhiri lawatan kerja beliau di Pulau Pinang.
-- BERNAMA