PENAMPANG, 28 Ogos (Bernama) -- Polis menahan dua lelaki berumur 19 dan 28 tahun disyaki menyamar sebagai anggota agensi penguat kuasa serta melakukan pemerasan terhadap seorang lelaki warga asing di Kampung Koidupan Sugud, di sini.
Ketua Polis Daerah Penampang Superintenden Sammy Newton berkata dalam kejadian pada 12.10 tengah malam tadi, suspek yang memakai pakaian menyerupai seragam agensi penguat kuasa meminta mangsa menunjukkan dokumen pengenalan diri atas kesalahan gagal mengemukakan pasport.
“Kedua-dua suspek dipercayai meminta bayaran sebanyak RM1,500 daripada mangsa bagi menyelesaikan kesalahan tersebut.
“Apabila suspek diminta menunjukkan kad kuasa, mereka cuba melarikan diri, namun berjaya ditahan oleh penduduk kampung sebelum diserahkan kepada pihak polis,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Sammy berkata polis turut merampas beberapa helai pakaian menyerupai seragam agensi penguat kuasa yang dipakai oleh suspek.
Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 384 dan Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana melakukan pemerasan serta menyamar sebagai penjawat awam.
Jika disabitkan kesalahan, mereka boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun, denda atau sebatan, manakala Seksyen 170 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun, denda atau kedua-duanya sekali.
-- BERNAMA