Am 28/08/2026 06:06 PM

Isteri Terlibat 'Love Scam' Dipercayai Motif Tragedi Desa Parkcity - Polis

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Isteri Terlibat 'Love Scam' Dipercayai Motif Tragedi Desa Parkcity - Polis
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadil Marsus --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA

KUALA LUMPUR, 28 Ogos (Bernama) -- Tragedi meragut nyawa empat beranak di sebuah kondominium di Desa ParkCity, Kepong semalam dipercayai berpunca daripada isteri suspek yang terjerumus dengan penipuan “love scam”.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadil Marsus berkata motif kejadian itu terbongkar selepas pihak polis menemukan sekeping nota yang ditinggalkan oleh suspek iaitu suami mangsa di atas meja makan kediaman berkenaan.

Beliau berkata menerusi nota itu, lelaki berusia 48 tahun berkenaan meluahkan rasa kesal terhadap isterinya yang didakwa mempunyai hubungan dengan seorang “scammer” sehingga mengakibatkan suspek menanggung kerugian serta hutang mencecah RM260,000.

"Si isteri didakwa masih cuba menghubungi individu (scammer) tersebut dan suspek merasakan perbuatan itu melampau serta berasa malu kepada anak-anaknya," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Fadil berkata pihaknya turut menemukan sebilah pisau dan sepasang sarung tangan di dalam sebuah laci di bilik tidur utama unit berkenaan.

Berhubung proses bedah siasat di Hospital Kuala Lumpur (HKL), beliau berkata prosedur ke atas mayat kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun selesai dijalankan pada 12 tengah hari tadi.

"Usai solat Jumaat, bedah siasat kedua akan dijalankan ke atas mayat si isteri. Tiga bedah siasat dijangka diselesaikan pada hari ini.

"Bedah siasat ke atas mayat suspek (suami) akan diadakan selepas pasukan forensik HKL mengadakan lawatan ke tempat kejadian pada pagi esok," katanya.

Semalam, seorang lelaki maut dipercayai terjatuh dari bangunan kondominium di Kepong, manakala isteri dan dua anaknya ditemukan maut di dalam sebuah unit kediaman berkenaan.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan berhubung kesalahan bunuh serta mati mengejut (SDR).

-- BERNAMA