Am 28/08/2026 01:30 PM

Malaysia Beralih Kepada Kawal Selia Peranti Perubatan Berasaskan Risiko - Dzulkefly

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Malaysia Beralih Kepada Kawal Selia Peranti Perubatan Berasaskan Risiko - Dzulkefly

KUALA LUMPUR, 28 Ogos (Bernama) -- Malaysia sedang beralih kepada model pengawalseliaan peranti perubatan berasaskan risiko untuk mempercepat inovasi yang bertanggungjawab tanpa menjejaskan keselamatan pesakit.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata pendekatan itu akan memperkemas proses pengawalseliaan untuk produk yang kukuh di samping membolehkan tumpuan kepakaran dan sumber dihalakan kepada inovasi penemuan baharu dan risiko tinggi.

“Kita mengekalkan piawaian keselamatan yang ketat di samping memberi ruang kepada kepakaran pengawalseliaan untuk menumpukan kepada inovasi risiko tinggi dan penemuan baharu," katanya ketika berucap pada majlis penutup Pameran dan Persidangan Peranti Perubatan Antarabangsa (IMDEC) 2026 di sini hari ini.

Beliau berkata Malaysia juga memperkukuh kebergantungan kepada pengawalseliaan antarabangsa dan kerjasama strategik untuk memudahkan akses pasaran yang bertanggungjawab.

“Pengawalseliaan tidak seharusnya menjadi penghalang sebaliknya menjadi ‘jambatan’ yang dipercayai untuk akses pasaran yang bertanggungjawab,” katanya.

Beliau berkata sistem pengawalseliaan yang progresif mesti menyokong inovasi tempatan daripada peringkat awal, dengan Malaysia memperkukuh hubungan antara penyelidikan akademik dan pengkomersialan melalui Innovative Medical Device Pathway.

“Kami ingin memastikan idea berpotensi yang dibangunkan di universiti dan pusat penyelidikan kami tidak kekal ‘terperangkap’ di makmal,” katanya.

Dzulkefly berkata rangka kerja inovasi “makmal ke sisi katil” yang menyeluruh sedang diwujudkan untuk menyediakan panduan kawal selia awal serta memperkukuh kerjasama antara sektor awam dan swasta, seterusnya membolehkan hasil ciptaan yang dibangunkan secara tempatan direalisasikan menjadi teknologi yang bermanfaat untuk pesakit.

Beliau berkata Pusat Kecemerlangan Pihak Berkuasa Peranti Perubatan yang baru ditubuhkan akan menghimpunkan kalangan pengawal selia, ahli akademik, penyelidik dan pemain industri untuk membangunkan kecekapan khusus, menggalakkan pertukaran pengetahuan dan memupuk bakat pengawalseliaan.

“Tanggungjawab bersama ini adalah untuk memastikan inovasi bergerak maju seiring dengan keselamatan pesakit, kualiti, keyakinan dan kepercayaan awam,” katanya.

IMDEC 2026, diadakan dari 26 hingga 28 Ogos, menghimpunkan lebih 160 pempamer dan 50 pakar serantau dan antarabangsa untuk berkongsi pandangan mengenai peraturan, inovasi dan transformasi penjagaan kesihatan.

-- BERNAMA