Am 28/08/2026 03:53 PM

Sultan Selangor Berangkat Ke Majlis Bacaan Yasin, Doa Selamat Sempena Hari Kebangsaan

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Sultan Selangor Berangkat Ke Majlis Bacaan Yasin, Doa Selamat Sempena Hari Kebangsaan
Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah (kiri) berkenan berangkat ke Majlis Bacaan Yasin, Doa Selamat dan Tahlii serta Solat Jumaat Sempena Sambutan Hari Kebangsaan Ke-69 Peringkat Negeri Selangor Tahun 1448H/2026M di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam hari ini.

SHAH ALAM, 28 Ogos (Bernama) -- Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini berkenan berangkat ke majlis bacaan Yasin, tahlil dan doa selamat sempena sambutan Hari Kebangsaan 2026 peringkat negeri.

Turut berangkat Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Keberangkatan tiba baginda di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini disambut Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari dan Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi negeri Dr Mohammad Fahmi Ngah.

Hadir sama Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) Datuk Mohd Shahzihan Ahmad dan Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) Datuk Salehuddin Saidin.

Bacaan Yasin, tahlil dan doa selamat yang dipimpin oleh Mufti Selangor Datuk Dr Anhar Opir itu, disertai kira-kira 1,000 jemaah termasuk pegawai serta anggota pasukan keselamatan yang bertugas di Selangor.

Sultan Sharafuddin kemudian menunaikan solat Jumaat dan mendengar khutbah bertajuk “Merdeka Daripada Belenggu Kerakusan” yang disampaikan Imam Besar Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Muhammad Farhan Wijaya yang turut mengimamkan solat Jumaat.

Sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri akan berlangsung pada 30 Ogos di Stadium Kajang pada 8 malam dengan mengangkat tema “Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati” selari dengan tema peringkat kebangsaan.

-- BERNAMA