Oleh Wartawan Bernama Lifestyle
KUALA LUMPUR, 28 Ogos (Bernama) -- Bacaan selawat yang selalunya dialunkan dalam majlis keagamaan selain di masjid dan surau, berkumandang di beberapa jalan utama kawasan tumpuan umum di ibu negara malam tadi.
Menerusi inisiatif “Salawat On The Move”, sekumpulan pelajar tahfiz bergandingan dengan penyanyi Mesir, Mostafa Atef menaiki bas Hop-On Hop-Off, dari Halab Gate Restaurant ke beberapa mercu tanda Kuala Lumpur termasuk Menara Kuala Lumpur, Pasar Seni, Dataran Merdeka, Menara Berkembar Petronas dan Pavilion Kuala Lumpur, sambil mengalunkan selawat sepanjang perjalanan berkenaan.
Ketua Pegawai Eksekutif ikhlas.com, Ikhlas Kamarudin berkata program itu bertujuan membawa selawat ke ruang awam secara santai agar dapat diamalkan dalam kehidupan seharian.
“Selawat sebenarnya sesuatu yang boleh dilakukan di mana-mana. Jadi, melalui Salawat On The Move, kami mahu orang ramai melihat dan memahami ibadah ini sesuatu yang mudah dilakukan.
“Kita nak jadikan selawat lebih mudah didekati golongan muda, selain menghidupkan penghayatan terhadap Rasulullah dalam suasana yang tidak terlalu formal,” katanya kepada pemberita selepas sidang media Mostafa Atef: Salawat on The Move, di sini malam tadi.
Katanya inisiatif yang diadakan bersempena dengan pelancaran Jejak Tamadun Mesir: 8H6M Cairo bersama-sama dengan penyanyi nasyid itu bertujuan menghidupkan semangat Maulidur Rasul menerusi amalan selawat sepanjang perjalanan di tengah-tengah ibu kota.
Sementara itu, Mostafa berkata program tersebut membuka ruang untuk beliau mengenali pendekatan selawat di Malaysia, yang menurutnya mempunyai keunikan tersendiri berbanding tradisi di Mesir.
“Di Mesir terdapat pelbagai gaya salawat, ada gaya ‘Cairo’ (Kaherah), gaya ‘Sa’id’, ‘Janoub’ dan ‘Alexandria’ (Iskandariah). Di Malaysia juga berbeza dan saya tertarik dengan cara umat Islam bersalawat dalam bentuk nasyid.
“Oleh sebab itulah saya sedang mempelajari bahasa Melayu, untuk menyanyi dalam muzik Malaysia,” katanya sambil menjelaskan perbezaan antara selawat Mesir dan Malaysia dapat dilihat menerusi penggunaan alat muzik, melodi dan gaya persembahan.
Penyanyi berusia 36 tahun itu berkata konsep “Salawat On The Move” pernah dilaksanakannya lima tahun lepas di Mesir dan mendapat sambutan yang baik.
“Setiap orang yang berada di tepi-tepi jalan dapat bersalawat bersama-sama, tidak kira mereka peminat nasyid ataupun bukan,” katanya.
-- BERNAMA