Am 24/08/2026 08:35 PM

KLK Catat Kerugian Bersih RM1.34 Bilion Dalam Suku Ketiga

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
KLK Catat Kerugian Bersih RM1.34 Bilion Dalam Suku Ketiga

KUALA LUMPUR, 24 Ogos (Bernama) -- Kuala Lumpur Kepong Bhd (KLK) mencatatkan kerugian bersih RM1.34 bilion dalam suku ketiga 2026 berbanding keuntungan bersih RM346.59 juta yang dicatatkan pada suku yang sama tahun sebelum ini selepas memberikan kerugian rosot nilai sebanyak RM1.62 bilion ke atas pelaburan dalam syarikat bersekutu luar negara, Synthomer plc yang tersenarai di United Kingdom.

Pendapatan pula meningkat kepada RM7.05 bilion daripada RM6.43 bilion.

Pengeluar minyak sawit itu melalui satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata pelarasan perakaunan bukan tunai dan bukan operasi berjumlah RM1.62 bilion akan menghapuskan kelembapan berulang dan tidak menentu ke atas hasil KLK di hadapan, tanpa kesan jangkaan terhadap prospek aliran tunai serta dividen.  

Untuk sembilan bulan pertama tahun kewangan berakhir 30 Sept 2026, ia mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM667.96 juta daripada untung bersih RM721.31 juta yang ia rekodkan pada tahun sebelum ini.

Hasil melonjak kepada RM19.95 bilion daripada RM18.71 bilion selepas dipacu oleh peningkatan dalam jumlah jualan dan kos pengeluaran minyak sawit mentah (MSM) yang lebih rendah, yang sebahagian besarnya mengurangkan kesan harga jualan MSM yang kurang memberangsangkan.

“Melihat ke hadapan, segmen perladangan dijangka terus memberikan prestasi yang kukuh, disokong oleh tahap pengeluaran yang mantap dan harga produk sawit yang menggalakkan, dengan kos operasi dijangka kekal tidak berubah untuk tahun kewangan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan berbeza.

Ketua Pegawai Operasi KLK Lee Jia Zhang berkata huluannya menunjukkan hasil kukuh yang mapan disebabkan oleh amalan pengurusan yang tertumpu dan berkesan manakala hiliran mencerminkan pengukuhan operasi serta komersil di semua wilayah operasi.

“Kami optimis untuk menutup tahun kewangan dengan prestasi yang amat baik. Bagi menghapuskan ketergantungan yang mengganggu prestasi asas kukuh kumpulan yang berterusan, adalah penting untuk kami memberikan kepastian dan kejelasan kepada pemegang kepentingan kami mengenai  Synthomer,” katanya.

Melangkah ke hadapan, walaupun KLK meneruskan akaun ekuiti, Lee berkata kos bawaannya telah menurun dengan ketara kepada RM190 juta.

-- BERNAMA