Am 24/08/2026 10:22 PM

Kerjasama Rentas Agensi Semarak Patriotisme Menerusi KMJG X JAGO 2026

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Kerjasama Rentas Agensi Semarak Patriotisme Menerusi KMJG X JAGO 2026
Pegawai Daerah Klang Mohd Hasry Nor Mohd melepaskan peserta konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) X Arena Penggerak Komuniti (JAGO) 2026 di Pejabat Daerah dan Tanah Klang hari ini. -- Kredit: JAPEN

SHAH ALAM, 24 Ogos (Bernama) -- Kerjasama rentas agensi dan penglibatan masyarakat dalam menjayakan Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) X Arena Penggerak Komuniti (JAGO) 2026 membuktikan usaha menyemarakkan semangat patriotisme adalah tanggungjawab bersama tanpa mengira latar belakang.

Penolong Pengarah Cawangan Media Siber Jabatan Penerangan (JaPEN) Selangor Herlina Ainizawati Zakaria berkata kerjasama itu antara usaha pihaknya bagi memperhebat semangat patriotisme serta menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) di negeri tersebut.

“JaPEN akan terus memperkukuh pendekatan komunikasi yang inklusif, kreatif dan berimpak tinggi dalam menyampaikan mesej kenegaraan kepada masyarakat.

“Usaha itu adalah selaras dengan aspirasi untuk membina rakyat yang bersatu padu, menghargai sejarah serta sentiasa menzahirkan rasa bangga menjadi rakyat Malaysia,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata sebagai acara tahunan yang sinonim dengan JaPEN, KMJG X JAGO Selangor 2026 mengekalkan tradisi edaran dan penyerahan Jalur Gemilang dari satu lokasi ke lokasi terpilih di samping memperluas pengisian program yang berteraskan semangat kenegaraan, perpaduan serta kecintaan terhadap negara.

Herlina Ainizawati berkata penganjuran program itu turut menjadi wadah penting dalam mempergiat pelaksanaan Kempen 1 Rumah 1 Jalur Gemilang (1R1JG) khususnya dengan menggalakkan masyarakat menjadikan bendera Malaysia sebagai simbol kebanggaan dan identiti nasional yang sentiasa dikibarkan sempena Bulan Kebangsaan.

Sebanyak tiga lokasi hentian peringkat Zon Tengah dipilih bagi menjayakan KMJG X JAGO Selangor 2026 hari ini iaitu Wisma Persekutuan Klang, Pejabat Daerah dan Tanah Klang serta Pusat Beli-Belah AEON Bukit Tinggi.

KMJG X JAGO Selangor 2026 melibatkan kira-kira 50 peserta daripada 10 agensi kerajaan dan swasta antaranya Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan dan Klang Utara, Majlis Bandaraya Diraja Klang serta Angkatan Pertahanan Awam Daerah Klang. 

-- BERNAMA