Am 24/08/2026 10:30 PM

Perkembangan Pesat AI Tuntut Kerangka Perundangan Jelas Lindungi Penggiat Seni - Anwar

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Perkembangan Pesat AI Tuntut Kerangka Perundangan Jelas Lindungi Penggiat Seni - Anwar
Kredit: Laman Facebook Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 24 Ogos (Bernama) -- Perkembangan pesat kecerdasan buatan (AI) menuntut satu kerangka perlindungan yang jelas bagi memastikan kemajuan teknologi tidak menjejaskan hak, kreativiti dan mata pencarian penggiat seni serta kelangsungan syarikat penerbitan dalam industri perfileman negara.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ancaman AI terhadap penggiat seni antara perkara yang dibangkitkan oleh wakil Gabungan Persatuan Perfileman Malaysia, yang membawa suara 13 persatuan di bawah naungannya, ketika bertemu beliau selepas merasmikan Menara Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata perkara lain termasuk isu hak milik intelek bagi karya yang dihasilkan menggunakan dana awam, penyediaan rumah mampu milik untuk penggiat seni serta peruntukan bagi pembangunan industri perfileman dan latihan.

“Insya-Allah, segala pandangan dan cadangan yang dikemukakan akan diperhalusi bagi memperkukuh dukungan terhadap industri perfileman, yang merupakan antara wadah penting dalam menghidupkan seni, budaya dan sastera serta membentuk jiwa, pemikiran dan jati diri bangsa,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Perdana Menteri berkata tanpa kekuatan seni, budaya dan sastera, Malaysia mungkin melahirkan anak-anak tanpa jiwa yang terputus daripada akar budaya sendiri serta hanya berbangga dengan identiti yang dipinjam.

Hadir sama Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil dan Timbalannya, Teo Nie Ching. 

-- BERNAMA