Am 24/08/2026 05:30 PM

Bekas Operator Kilang Diarah Bela Diri Bunuh Bekas Isteri

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Bekas Operator Kilang Diarah Bela Diri Bunuh Bekas Isteri

PUTRAJAYA, 24 Ogos (Bernama) -- Mahkamah Rayuan hari ini memerintahkan bekas operator kilang Zulkifli Joned membela diri atas pertuduhan membunuh bekas isterinya pada 2019 selepas membenarkan rayuan pihak pendakwaan.

Panel tiga hakim yang diketuai Hakim Datuk Azman Abdullah turut mengetepikan sabitan serta hukuman penjara 16 tahun yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam terhadap Zulkifli tahun lepas.

Dalam membenarkan rayuan pihak pendakwaan, Azman memutuskan bahawa Mahkamah Tinggi Shah Alam telah terkhilaf apabila menawarkan pertuduhan alternatif terhadap Zulkifli di bawah Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan.

"Hakim Mahkamah Tinggi sepatutnya membuat satu dapatan sama ada pihak pendakwaan berjaya membuktikan satu kes prima facie di bawah pertuduhan Seksyen 302 Kanun Keseksaan atau Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan.

"Mahkamah itu juga sepatutnya memanggil tertuduh untuk membela diri sama ada di bawah Seksyen 302 atau Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan.

"Dengan ini, mahkamah mengarahkan tertuduh untuk membela diri di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan di hadapan hakim yang sama," katanya.

Hakim Azman bersidang bersama Hakim Datuk Leonard David Shim dan K. Muniandy.

Mahkamah menetapkan 2 Sept untuk pengurusan kes.

Timbalan Pendakwa Raya How May Ling, ketika berhujah dalam rayuan itu, berkata Hakim Mahkamah Tinggi ketika itu, Datuk Aslam Zainuddin, tidak mempunyai kuasa untuk menawarkan pertuduhan alternatif kerana perkara itu terletak di bawah budi bicara Pendakwa Raya.

"Dalam penghakimannya setebal 30 muka surat, hakim itu tidak menyatakan alasan bagi menawarkan pertuduhan alternatif," katanya.

Sementara itu, peguam Suzanawati Ismail yang mewakili Zulkifli mempertahankan keputusan Mahkamah Tinggi.

Pada 27 Sept 2019, Zulkifli, 46, pada mulanya didakwa di Mahkamah Majistret Petaling Jaya atas pertuduhan membunuh Nor Hidayah Ahmad, 30, antara 8.53 pagi hingga 11.20 pagi di sebuah rumah di Prima Damansara pada 10 Sept tahun yang sama.

Pada 13 Nov 2025, Mahkamah Tinggi Shah Alam menjatuhkan hukuman penjara 16 tahun terhadap tertuduh, berkuat kuasa dari tarikh penangkapannya pada 15 Sept 2019, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan alternatif menyebabkan kematian bekas isterinya.

Pihak pendakwaan kemudian mengemukakan rayuan ke Mahkamah Rayuan.

Sebelum ini dilaporkan bahawa mayat Nor Hidayah ditemukan di dalam sebuah bilik di sebuah flat di Prima Damansara dalam keadaan dibalut dengan selimut, diikat menggunakan tali nilon serta disembunyikan di bawah tilam dan bantal.

-- BERNAMA