Am 24/08/2026 05:47 PM

PLKN 3.0 Beri Impak Positif, Skor Pelatih Meningkat

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
PLKN 3.0 Beri Impak Positif, Skor Pelatih Meningkat
Pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) melafazkan ikrar pada Perbarisan Tamat Latihan Wira Muda Negara Siri 1/2026 PLKN di Kem Latihan Khidmat Negara 505 Askar Wataniah (AW) hari ini.

PADANG BESAR, 24 Ogos (Bernama) -- Kajian analisis keberkesanan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 Siri 2/2026 menunjukkan bahawa program itu memberikan impak positif terhadap pembangunan pelatih dengan skor purata meningkat daripada 74.35 peratus sebelum latihan kepada 87.44 peratus selepas latihan.

Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) Mejar Jeneral Datuk Marzuki Mokhtar berkata dapatan itu ialah hasil kajian yang dijalankan jabatan berkenaan dengan kerjasama tiga universiti awam, dengan kesemua enam indikator utama menunjukkan peningkatan selepas pelatih menamatkan latihan.

Beliau berkata indikator kajian itu meliputi patriotisme dan kesetiaan, perpaduan dan toleransi, disiplin dan transformasi diri, ketahanan mental dan kesiapsiagaan, kompetensi ketenteraan, serta kesukarelawanan.

"Dapatan kajian ini membuktikan bahawa PLKN 3.0 bukan sekadar memberikan pendedahan kepada latihan ketenteraan asas, malah turut berperanan dalam membentuk pelatih yang lebih berdisiplin, berdaya tahan, kompeten, patriotik serta mempunyai semangat perpaduan dan kesukarelawanan,” katanya dalam kenyataan.

Kenyataan itu dikeluarkan oleh JLKN bersempena dengan majlis penutupan Latihan Wira Muda Negara Siri 3/2026 PLKN 3.0 yang dirasmikan oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Dr Johari Abdul di Cawangan Latihan Khidmat Negara (CLKN) Kem 504 Askar Wataniah (AW) Bukit Keteri, dekat sini hari ini.

Marzuki berkata dapatan kajian itu turut mengukuhkan peranan PLKN sebagai platform pembangunan generasi muda secara menyeluruh.

Sementara itu, bercakap kepada pemberita selepas majlis berkenaan, Marzuki berkata pihaknya menyasarkan lebih 4,200 pelatih PLKN tahun ini dan jumlah itu dijangka meningkat kepada 10,520 pelatih pada tahun depan.

Beliau berkata jumlah pengambilan peserta PLKN 3.0 Siri 4/2026 akan ditingkatkan menerusi penambahan lima kem CLKN termasuk penggunaan pusat latihan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).

“Lima kem baharu itu ialah Bukit Pinang dan Bukit Selambau di Kedah; Hutan Melintang, Perak; Sungai Durian, Kelantan dan Tuaran, Sabah,” katanya.

Marzuki berkata tiga kem sedia ada ialah Kem 504 AW di Perlis, Kem 505 AW di Pahang dan Kem 515 AW di Kuala Lumpur.

"Siri selanjutnya pada tahun hadapan mungkin ada penambahan Pusat Latihan RELA. Penggunaan aset kerajaan secara tidak langsung menjimatkan kos dan menambahkan jumlah pelatih. 

“Kalau kesemua 13 kem ini dapat dibuka, kita akan mencapai hingga 25,400 pelatih setahun," katanya.

-- BERNAMA