KUALA LUMPUR, 24 Ogos (Bernama) -- Adakah pasangan beregu lelaki negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik akan digandingkan semula?
Persoalan itu masih menjadi tanda tanya susulan pencapaian membanggakan mereka muncul sebagai naib juara pada Kejohanan Dunia 2026 di New Delhi, India selepas pasangan Malaysia itu tewas kepada Liang Wei Keng-Wang Chang dari China pada aksi final, Ahad lepas.
Pasangan pilihan keempat itu terpaksa berpuas hati di tempat kedua selepas tewas 17-21, 16-21 kepada pasangan pilihan ketiga berkenaan dalam tempoh 35 minit pada kejohanan berprestij yang berlangsung di Stadium Tertutup Indira Gandhi.
Ketua Jurulatih Beregu Lelaki Negara Herry Iman Pierngadi berkata keputusan sama ada bekas juara dunia itu digandingkan semula hanya akan dibuat menjelang penghujung tahun ini.
“Kami akan bahas lagi pada masa depan dan akhir tahun sudah ada keputusannya. Jadi, ketika ini memang pengalaman untuk cuba lihat bagaimana dan sejauh mana mereka dengan pasangan baharu,” katanya kepada Bernama.
Aaron-Wooi Yik digandingkan semula pada kejohanan dunia itu selepas kali terakhir beraksi bersama pada Terbuka Indonesia, Jun lepas.
Persatuan Badminton Malaysia (BAM) melakukan rombakan strategik dalam bahagian beregu lelaki negara pada bulan sama, dengan menggandingkan Aaron bersama pemain yang sedang meningkat naik Aaron Tai manakala Wooi Yik digandingkan dengan Man Wei Chong.
Menurut BAM, gandingan baharu itu adalah sebahagian daripada perancangan jangka panjang badan induk berkenaan untuk menghadiahkan pingat emas pertama Malaysia pada Sukan Olimpik Los Angeles 2028.
Bulan lepas, BAM mengumumkan bahawa Aaron turut dijadualkan bergandingan dengan bekas pasangan Wei Chong, iaitu Tee Kai Wun manakala Wooi Yik tidak disenaraikan dalam skuad ke Sukan Asia 2026 di Aichi-Nagoya, Jepun yang akan berlangsung dari 19 Sept hingga 4 Okt.
Herry ketika mengulas mengenai prestasi Aaron-Wooi Yik pada aksi final mengakui anak buahnya tidak berada pada tahap terbaik ketika berdepan Wei Keng-Wang Chang.
Jurulatih dari Indonesia itu berkata pemenang dua kali pingat gangsa Sukan Olimpik berkenaan gagal mengulangi prestasi yang ditampilkan ketika mencipta kemenangan mengejut ke atas pasangan pilihan utama dari Korea Selatan Kim Won Ho-Seo Seung Jae, 21-17, 21-18 pada separuh akhir Sabtu lepas.
“Penampilan mereka sedikit menurun… banyak kesilapan dibuat, terutama Aaron. Pasangan China ini juga bermain dengan sangat yakin menentang Aaron-Wooi Yik,” katanya.
Herry berkata walaupun tewas, kejayaan mara ke final itu sendiri adalah pencapaian yang membanggakan memandangkan persaingan sengit dalam acara beregu lelaki, dengan kejuaraan utama silih berganti menjadi milik pasangan berbeza dalam beberapa bulan kebelakangan ini.
Keputusan itu menyaksikan Wei Keng-Wang Chang menjadi pasangan beregu lelaki China pertama memenangi gelaran dunia dalam tempoh lapan tahun selepas Li Junhui-Liu Yuchen kali terakhir melakukannya di Nanjing, China.
Pasangan ranking ketiga dunia itu turut melebarkan penguasaan mereka ke atas Aaron-Wooi Yik apabila kini memenangi 12 daripada 15 pertemuan antara kedua-dua pasangan.
Kekalahan itu pula menyaksikan pasangan Malaysia berkenaan gagal menamatkan kemarau kejuaraan mereka selepas kali terakhir memenangi kejohanan pada Terbuka Singapura 2025, dengan menewaskan Won Ho-Seung Jae 15-21, 21-18, 21-19.
Pada edisi 2022, Aaron-Wooi Yik mencipta sejarah apabila menjadi wakil Malaysia pertama memenangi gelaran dunia selepas menewaskan pasangan Indonesia dan juara tiga kali, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan, 21-19, 21-14 di Tokyo.
-- BERNAMA