JITRA, 24 Ogos (Bernama) -- Projek menaik taraf Jabatan Teknologi Fesyen dan Pakaian (JTFP), Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) di sini, mencerminkan komitmen kerajaan dalam memperkukuh infrastruktur dan kemudahan latihan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Datuk Rahimi Ismail berkata projek bernilai RM3.7 juta itu merangkumi kerja menaik taraf bangunan, perolehan peralatan teknologi maklumat (ICT), serta perabot bagi menyediakan kemudahan latihan lebih moden, selamat dan kondusif.
Beliau berkata projek berkenaan, dilaksanakan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) Rancangan Boleh Pinda 4 dan diserahkan secara rasmi kepada KBS, hari ini.
“Skop naik taraf bangunan dilaksanakan Jabatan Kerja Raya (JKR) menerusi Projek Naik Taraf Fasiliti Latihan Jabatan Teknologi Tekstil di IKBN Jitra, yang bermula pada 15 Jun 2025 dengan nilai kontrak RM1.577 juta.
“Kemudahan latihan berkualiti penting bagi memastikan program TVET sentiasa relevan dan selari dengan perkembangan teknologi, serta keperluan industri semasa,” katanya ketika berucap pada majlis penyerahan projek itu di sini, hari ini.
Rahimi berkata projek berkenaan menyediakan persekitaran pengajaran dan pembelajaran yang lebih selamat, selesa dan moden, termasuk bengkel fesyen tahap tiga dan kelas pintar.
“Kemudahan ini diharapkan dapat meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran, merangsang kreativiti serta inovasi dan memberi pengalaman latihan yang lebih hampir dengan suasana sebenar industri,” katanya.
Rahimi berkata perkembangan industri fesyen yang sentiasa berubah mengikut teknologi, kreativiti dan kehendak pasaran, menuntut institusi TVET bergerak seiring dengan industri.
“Saya berharap hasil karya pelajar IKBN Jitra bukan sahaja dikenali pada peringkat negeri dan negara, malah mampu menembusi pasaran serta persada fesyen antarabangsa,” katanya.
-- BERNAMA