Am 24/08/2026 04:03 PM

Doktor Bukan Sekadar Rawat, Bina Jaringan Sokongan Untuk Anak Yatim

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Doktor Bukan Sekadar Rawat, Bina Jaringan Sokongan Untuk Anak Yatim

Oleh Adnan Mohamad

KOTA BHARU, 24 Ogos  (Bernama) -- Bagi Dr Mohd Syafiq Mohd Nadery, tugas seorang doktor tidak seharusnya berakhir selepas pesakit menerima rawatan, sebaliknya perlu diperluas kepada usaha membina jaringan sokongan bagi membantu golongan kurang berkemampuan meneruskan kehidupan.

Doktor muda berusia 34 tahun yang juga anak keempat daripada lima beradik itu, menterjemahkan pendekatan berkenaan menerusi Kad Permata, yang membolehkan anak yatim dan yatim piatu mendapatkan rawatan secara percuma, selain menerima sokongan kewangan serta pendidikan.

Beliau berkata inisiatif itu tercetus daripada keprihatinannya terhadap kesusahan golongan kurang berkemampuan, yang sebelum ini terlepas pandang terutama di segi kewangan dan sokongan orang sekeliling.

“Keadaan ini dilihat sendiri pada peringkat awal sebagai doktor swasta serta ketika berkhidmat di Hospital Sultan Ismail Petra Kuala Krai sebelum itu. Bagi saya, doktor bukan sekadar merawat pesakit, tetapi kita juga perlu melihat apa yang berlaku selepas pesakit keluar daripada klinik.

“Bagi anak yatim, kita mahu mereka tahu ada pihak yang mengambil berat tentang kesihatan dan kelangsungan hidup mereka,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Dr Syafiq berkata menerusi kad itu, penerima boleh mendapatkan apa jua rawatan secara percuma di dua cawangan Klinik Syafiq miliknya di Tok Bali, Kelantan dan Gong Badak, Terengganu.

Lebih daripada bantuan perubatan, beliau turut menyediakan elaun bulanan RM150 kepada penerima terpilih sehingga mereka menamatkan Tingkatan Lima, selain mempertimbangkan bantuan lanjut bagi penerima yang menunjukkan pencapaian akademik cemerlang untuk melanjutkan pengajian.

Dr Syafiq berkata pendekatan itu penting, kerana kekangan kewangan keluarga boleh memberi kesan bukan sahaja terhadap akses kepada rawatan, malah peluang pendidikan dan masa depan anak-anak yang kehilangan tempat bergantung.

Selain Kad Permata, beliau turut menggerakkan program DocCare di masjid-masjid bagi membantu golongan asnaf yang terlantar, termasuk menyediakan keperluan penjagaan dan peralatan kesihatan bersesuaian.

Dalam masa sama, Dr Syafiq bersama pasukannya turun dari rumah ke rumah untuk memberikan rawatan percuma kepada pesakit daif dan terlantar, yang menghadapi kesukaran mendapatkan rawatan di klinik.

Antara penerima manfaat ialah Mohd Suzaini Ramli, 55, dari Kampung Dusun Muda, di sini, yang terpaksa menjalani pembedahan memotong sebelah kaki akibat komplikasi diabetes pada 2017.

Mohd Suzaini yang tidak pernah berkahwin kini tinggal bersama lapan anggota keluarga, termasuk ibunya, Noriah Mamat, 79, yang turut menghidap diabetes dan darah tinggi.

“Saya amat berterima kasih kepada pihak Dr Syafiq dan kakitangannya yang sanggup membuat rawatan ke atas diri saya walaupun terlantar di rumah.

“Kunjungan doktor ke rumah sedikit sebanyak meringankan beban keluarga kerana tidak perlu memikirkan kos serta kesukaran membawa pesakit terlantar mendapatkan rawatan,” katanya.

Dr Syafiq berkata usaha itu akan diteruskan, kerana masih ramai golongan daif yang bukan sahaja memerlukan rawatan, tetapi juga sokongan untuk menjalani kehidupan seharian.

Beliau berkata bantuan kepada golongan berkenaan tidak seharusnya terhad kepada wang atau barangan asas, sebaliknya keperluan kesihatan dan penjagaan jangka panjang turut perlu diberi perhatian.

“Bagi saya usaha itu perlu diperluaskan oleh mereka yang terlibat dalam profesion perubatan daripada sekadar merawat penyakit kepada membina jaringan sokongan untuk golongan yang berdepan kekangan ekonomi dan kesihatan,” katanya.

-- BERNAMA