KUALA LUMPUR, 24 Ogos (Bernama) -- Keuntungan bersih Eastern & Oriental Bhd (E&O) meningkat kepada RM58.11 juta bagi suku pertama berakhir 30 Jun 2026 daripada RM45.41 juta pada suku pertama tahun kewangan 2026.
Perolehan meningkat 53.4 peratus tahun ke tahun kepada RM281.47 juta daripada RM183.50 juta sebelum ini, didorong oleh segmen hartanah yang mencatat peningkatan RM99.3 juta.
Syarikat itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia memaklumkan perolehan segmen hartanah meningkat 63.2 peratus tahun ke tahun kepada RM256.4 juta pada suku pertama tahun kewangan 2027 daripada RM157.1 juta pada suku pertama tahun kewangan 2026.
Menurutnya peningkatan itu berikutan pengiktirafan hasil yang lebih tinggi daripada projek baru dilancarkan iaitu AVÉA, Fera dan Senna Fasa 3 dan 4, Laman Embun serta Seri Embun.
Bagaimanapun, perolehan segmen hospitaliti menyusut 1.6 peratus tahun ke tahun kepada RM24.7 juta daripada RM25.1 juta sebelum ini.
Sementara itu, keuntungan operasi pelaburan dan segmen lain menurun kepada RM8.5 juta pada suku pertama tahun kewangan daripada RM10.4 juta pada suku pertama tahun kewangan 2026.
“Penurunan itu terutamanya berikutan yuran pengurusan diiktiraf yang lebih rendah apabila projek menghampiri tempoh siap,” menurutnya.
Mengenai prospek, menurut syarikat itu kumpulan secara keseluruhannya kekal optimis namun berhati-hati terhadap prospeknya bagi suku-suku akan datang.
“Segmen hospitaliti dijangka mengekalkan momentum positif, didorong oleh permintaan perjalanan serantau yang berterusan,” menurutnya.
-- BERNAMA