Am 24/08/2026 02:45 PM

JTKSM Mahu Budaya Keselamatan Diterap Seawal Di Bangku Sekolah

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
JTKSM Mahu Budaya Keselamatan Diterap Seawal Di Bangku Sekolah

KLUANG, 24 Ogos (Bernama) -- Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) mahu pendidikan berkaitan keselamatan di tempat kerja diterapkan seawal di bangku sekolah bagi membentuk kesedaran pelajar sebelum melangkah ke alam pekerjaan.

Ketua Pengarah JTKSM Kamal Pardi berkata pendedahan awal itu penting supaya pelajar bukan sahaja memahami aspek keselamatan di sesebuah premis, malah mampu menjadikannya sebagai amalan apabila memasuki alam pekerjaan kelak.

Beliau berkata pendekatan itu turut diterapkan menerusi Program Sekolah Angkat MADANI JTKSM yang bukan sekadar menumpukan penambahbaikan kemudahan fizikal, sebaliknya memberikan keutamaan kepada aspek keselamatan dan kesejahteraan warga sekolah.

“Di SMK Layang-Layang ini, beberapa kemudahan dinaik taraf termasuk pembinaan ‘awning’ atau bumbung tambahan antara dewan terbuka dengan kantin sekolah, yang dilengkapi saluran air bagi mengurangkan risiko pelajar terdedah kepada hujan.

“Bahagian sisi dewan terbuka turut dipasang ‘awning’ bagi memberikan keselesaan ketika perhimpunan atau program sekolah, selain penutup longkang dibina di lokasi berisiko serta kerja ‘render’ lantai dilaksanakan supaya arasnya lebih selamat,” katanya kepada pemberita selepas Program Sekolah Angkat MADANI di SMK Layang-Layang di sini hari ini.

Kamal berkata setiap penambahbaikan itu turut dijadikan medium pendidikan kepada pelajar dengan JTKSM dan pihak pendidikan akan memberikan penerangan mengenai kepentingan aspek keselamatan di premis serta risiko yang boleh berlaku sekiranya langkah pencegahan diabaikan.

Beliau berkata menerusi program berkenaan, SMK Layang-Layang menerima peruntukan RM100,000 daripada JTKSM, manakala Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) menyumbang RM40,000 bagi melaksanakan program pembangunan pelajar serta pembinaan pentas sekolah.

-- BERNAMA