IPOH, 24 Ogos (Bernama) -- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Perak menahan dua vesel nelayan tempatan dan merampas 106 unit bubu naga dalam dua rondaaan berasingan di perairan Batu Tanjung Hantu di Lumut, semalam.
Pengarah Maritim Negeri Perak Kepten Maritim Mohamad Shukri Khotob berkata penahanan itu dibuat selepas nelayan berkenaan disyaki menjalankan aktiviti perikanan tanpa lesen sah serta menggunakan peralatan menangkap ikan yang dilarang.
Beliau berkata dalam kejadian pertama, sebuah vesel ditahan 2.12 pagi pada kedudukan 3.9 batu nautika barat laut Batu Tanjung Hantu ketika kapal Maritim Malaysia melaksanakan rondaan dan penguatkuasaan menerusi Ops Sayong, Ops Pintas, Ops Khas Tanjung 2 dan Ops Tiris.
“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat dua orang kru termasuk tekong warga Malaysia berumur 24 dan 45 tahun berada di atas vesel berkenaan.
“Siasatan awal mendapati vesel itu disyaki melakukan beberapa pelanggaran syarat lesen perikanan di bawah Akta Perikanan 1985 kerana tidak mempunyai lesen perikanan yang sah serta menggunakan dan memiliki peralatan menangkap ikan yang tidak dibenarkan iaitu bubu naga,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohamad Shukri berkata kesemua kru termasuk tekong ditahan, manakala 19 unit bubu naga dirampas sebelum vesel berkenaan diiringi ke Jeti Perikanan Kampung Acheh dan diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut.
Selain itu, beliau berkata dalam kejadian berasingan pada Sabtu lepas, sebuah lagi vesel nelayan tempatan ditahan 2.58 pagi pada kedudukan 3.4 batu nautika barat laut Batu Tanjung Hantu atas kesalahan sama.
“Tiga kru termasuk tekong warga Malaysia berusia lingkungan 38 hingga 42 tahun berada di atas vesel itu dan pemeriksaan lanjut mendapati mereka disyaki tidak mempunyai lesen perikanan sah selain menggunakan serta memiliki bubu naga.
“Kesemua kru termasuk tekong ditahan, manakala 87 unit bubu naga dirampas sebelum dibawa ke Jeti Perikanan Kampung Acheh untuk tindakan dan siasatan lanjut,” katanya.
Mohamad Shukri berkata pihaknya akan terus memperhebat rondaan dan operasi penguatkuasaan bagi membanteras aktiviti perikanan yang menyalahi undang-undang serta memastikan sumber perikanan negara sentiasa terpelihara.
-- BERNAMA