KUALA LUMPUR, 23 Ogos (Bernama) -- Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi mengingatkan pemain industri kejuruteraan agar tidak berkompromi dalam aspek keselamatan demi mengejar keuntungan atau mengawal kos projek.
Beliau berkata walaupun kawalan kos dan keuntungan adalah elemen penting dalam perniagaan, nilai nyawa serta keselamatan manusia tidak boleh diletakkan harga.
"Kepada industri, kawalan kos dan keuntungan memang penting tetapi jangan sekali-kali berkompromi dalam soal keselamatan... kos boleh dikira tetapi nyawa dan keselamatan manusia tidak boleh diletakkan harga," katanya.
Nanta berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Anugerah Kejuruteraan dan Penghargaan Lembaga Jurutera Malaysia (LJM) 2026 di sini malam ini.
Majlis sempena ulang tahun ke-54 penubuhan LJM itu mengetengahkan lima kategori utama anugerah meliputi inovasi generasi muda, kecemerlangan projek, pencapaian antarabangsa serta kepimpinan dan legasi dalam bidang berkenaan.
Pada majlis itu, Penasihat Malaysian Resources Corporation Berhad Datuk Seri Ir Dr Judin Abdul Karim diumumkan sebagai penerima Anugerah Tokoh Kejuruteraan Negara 2026 manakala Anugerah Tokoh Muda Kejuruteraan Negara 2026 pula disandang oleh Profesor Madya Jabatan Kejuruteraan Kimia Universiti Teknologi Petronas Ir Dr Serene Lock Sow Mun.
Sebagai tanda penghargaan atas sokongan penyampaian maklumat dan peningkatan kesedaran masyarakat, LJM turut menyampaikan Penghargaan Khas kepada lapan organisasi media tempatan termasuk Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA), yang diterima oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin.
Dalam pada itu, Nanta menggesa komuniti kejuruteraan agar lebih proaktif menceritakan kisah kejayaan dan inovasi mereka kepada masyarakat supaya nilai sebenar profesion tersebut lebih difahami umum.
Pada masa sama, beliau mahu pakar kejuruteraan tempatan lebih berani mengintai peluang dan membawa perkhidmatan profesional Malaysia ke peringkat antarabangsa.
"Kita sudah mempunyai kepakaran dan pengalaman... kini, kita perlu lebih berani membawa perkhidmatan profesional kejuruteraan Malaysia ke pasaran antarabangsa seperti ASEAN, Asia serta Asia Barat, dan pasaran dunia perlu dilihat sebagai ruang pertumbuhan kepada kepakaran kejuruteraan negara," katanya.
-- BERNAMA