SHAH ALAM, 23 Ogos (Bernama) -- Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari menafikan poster yang tular melibatkan pengumuman cuti peristiwa bersempena dengan kemenangan negeri berkenaan pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2026.
Dalam hantaran menerusi Threads, Amirudin berkata sebarang pengumuman rasmi berkenaan perkara itu akan dibuat pada Majlis Penutup SUKMA, yang akan berlangsung di Aneka Walk, Seksyen 14 di sini, esok.
“Segala sebaran atau pengumuman yang berlaku sebelumnya adalah palsu dan tidak benar sama sekali. Harap maklum dan mohon bersabar,” katanya.
Terdahulu, Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Mohd Najwan Halimi dilaporkan berkata Selangor akan mempertimbangkan untuk memberikan cuti peristiwa jika kontinjen SUKMA negeri berkenaan berjaya meraih gelaran juara keseluruhan pada temasya itu.
Beliau berkata perkara itu hanya akan diumumkan selepas kiraan pingat dimuktamadkan dengan kontinjen Selangor menunjukkan peluang cerah untuk menamatkan temasya dengan cemerlang.
-- BERNAMA