Dunia 23/08/2026 10:52 PM

GP Abu Dhabi Dijadual 3 Hingga 6 Dis

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
GP Abu Dhabi Dijadual 3 Hingga 6 Dis
Kredit: WAM

ABU DHABI, 23 Ogos (Bernama-WAM) -- Perlumbaan Formula Satu (F1) Grand Prix (GP) Abu Dhabi akan berlangsung dari 3 hingga 6 Dis 2026 di Litar Yas Marina, sekali gus menutup tirai musim Kejuaraan Dunia F1 2026, lapor Agensi Berita Emirates (WAM).

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif F1 Stefano Domenicali berkata persiapan untuk menganjurkan perlumbaan penutup musim di Abu Dhabi berjalan mengikut perancangan, sekali gus menegaskan bahawa kalendar perlumbaan akan diteruskan seperti yang dijadualkan.

Beliau berkata Abu Dhabi sedang bersiap sedia untuk menjadi tuan rumah perlumbaan penutup musim dalam suasana luar biasa, di samping program padat merangkumi pelbagai acara dan pengalaman sepanjang perlumbaan itu.

Setiausaha Rendah Jabatan Kebudayaan dan Pelancongan Abu Dhabi Saood Abdulaziz Al Hosani berkata penganjuran F1 sejak 2009 mencerminkan kedudukan global emiriah itu serta keupayaannya menarik acara sukan antarabangsa utama.

Beliau berkata GP Abu Dhabi membantu meningkatkan daya tarikan Abu Dhabi sebagai destinasi global dan menyokong sektor pelancongan, hospitaliti serta acara, di samping menarik pengunjung dari seluruh dunia.

Ketua Pegawai Eksekutif Ethara Saif Rashid Al Noaimi berkata persiapan bagi perlumbaan itu berjalan lancar, sambil menegaskan kerjasama dengan F1 dan rakan kongsi di seluruh emiriah berkenaan bagi memberikan pengalaman luar biasa kepada peminat, pasukan dan pelumba.

GP Abu Dhabi menggabungkan saingan di Litar Yas Marina dengan pelbagai program hiburan, konsert dan pengalaman hospitaliti di seluruh Pulau Yas, menjadikannya antara pusingan penutup musim paling menonjol dalam kalendar F1.

-- BERNAMA-WAM