SHAH ALAM, 23 Ogos (Bernama) -- Kontinjen Selangor berjaya melepasi sasaran 80 pingat emas pada hari kedua terakhir Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 hari ini, sekali gus semakin mengukuhkan kedudukan untuk muncul juara keseluruhan pada temasya yang melabuhkan tirai esok.
Kejayaan itu hadir menerusi pasukan wanita Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) yang menewaskan Pulau Pinang 3-1 pada aksi final di Pusat Konvensyen Majlis Perbandaran Ampang Jaya.
Kutipan pingat emas Selangor terus meningkat apabila kontinjen Red Giants kini mengumpul 97 emas, 71 perak dan 69 gangsa, jauh meninggalkan pencabar terdekat, Wilayah Persekutuan, yang mengumpul 50 emas, 49 perak dan 52 gangsa.
Terengganu pula berada di tempat ketiga dengan 41 emas, 44 perak dan 35 gangsa.
Renang menjadi antara penyumbang terbesar kejayaan Selangor apabila muncul juara keseluruhan sukan itu dengan 20 emas, tujuh perak dan 11 gangsa
Pada hari terakhir saingan renang hari ini, Selangor menambah tiga lagi pingat emas, termasuk menerusi perenang sensasi tuan rumah, Eliza Ai Shen Tan, yang melengkapkan penampilan sulungnya di SUKMA dengan tujuh pingat emas.
Eliza menjuarai acara 50 meter (m) gaya bebas wanita dengan catatan 26.44 saat, sekali gus memadam rekod temasya 26.50 saat milik Leung Chii Lin yang bertahan sejak 2008.
Perenang tuan rumah itu sebelum ini turut memenangi emas dalam acara 200m gaya bebas, 100m gaya bebas, 4x100m gaya bebas, 4x200m gaya bebas, 4x100m rampaian campuran dan 4x100m rampaian wanita, selain mencipta rekod kebangsaan dalam acara 100m gaya bebas dengan catatan 56.78 saat.
Dalam acara terjun pula, atlet berusia 14 tahun, Ayu Syuhaida Khairul, mencipta kejutan apabila meraih emas dalam acara 3m papan anjal individu wanita selepas mengumpul 237.20 mata.
Dalam perkembangan lain, Pahang menebus kekecewaan pada edisi 2024 di Sarawak apabila muncul juara hoki lelaki selepas menewaskan Pulau Pinang 4-2 menerusi pukulan penentuan penalti pada aksi final di Stadium Hoki Pandamaran.
Dalam acara berbasikal trek pula, pelumba Johor, Nur Alyssa Mohd Farid, muncul juara acara pecut wanita selepas menewaskan wakil Selangor, Yong Ann Tung, 2-0.
Dengan 12 lagi pingat emas bakal dipertandingkan pada hari terakhir esok, Selangor masih berpeluang menambah koleksi pingatnya sebelum temasya melabuhkan tirai, sekali gus mengukuhkan usaha memburu gelaran juara keseluruhan di laman sendiri.
-- BERNAMA