BUKIT MERTAJAM, 22 Ogos (Bernama) -- Sebanyak 222 Pusat Rujukan Inklusif Usahawan MADANI (PRIME) akan mula beroperasi di Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) terpilih di seluruh negara mulai Isnin ini (24 Ogos) meliputi setiap kawasan Parlimen bagi membawa khidmat sokongan keusahawanan lebih dekat kepada rakyat.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Steven Sim berkata orang ramai boleh hadir terus ke kesemua pusat PRIME itu, yang merupakan pusat sehenti rujukan usahawan, bagi mendapatkan maklumat, konsultasi perniagaan dan akses serta rujukan kepada program pembiayaan, latihan dan perkhidmatan agensi berkaitan.
"PRIME akan berfungsi sebagai pusat sehenti bagi membantu usahawan serta perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), peniaga kecil serta penjaja memperoleh maklumat dan khidmat berkaitan keusahawanan termasuk mendapatkan informasi mengenai program dan dasar kerajaan, dana serta pembiayaan, selain bantuan bagi permohonan pinjaman dan kursus keusahawanan.
"Melalui PRIME, usahawan boleh datang dan memaklumkan keperluan atau masalah perniagaan mereka, pegawai PRIME akan memberikan panduan awal dan, sekiranya perlu, merujuk mereka kepada program atau agensi yang paling sesuai, sama ada di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), kementerian lain atau agensi kerajaan berkaitan," katanya.
Beliau berkata demikian selepas melancarkan PRIME 2026 dan buku Aspirasi Membangun Usahawan MADANI 20 Tahun INSKEN di Pusat NADI Machang Bubok, di sini hari ini yang turut dihadiri Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Institut Keusahawanan Negara Berhad (INSKEN) Datuk Mustaffa Kamil Ayub dan Timbalan Pengarah Pengurusan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Eneng Faridah Iskandar.
Sim yang juga Ahli Parlimen Bukit Mertajam berkata PRIME ialah sebahagian daripada langkah kementerian seterusnya, iaitu membawa kepakaran dan sokongan keusahawanan lebih dekat kepada rakyat supaya lebih ramai usahawan bukan sahaja mampu memulakan perniagaan, tetapi juga bertahan untuk berkembang serta menjadi lebih berdaya saing.
Beliau berkata kesemua pegawai di 222 Pusat NADI berkenaan turut menerima latihan intensif daripada INSKEN bagi membolehkan mereka berperanan sebagai fasilitator kepada usahawan setempat yang memerlukan bantuan.
"Inisiatif itu juga adalah antara usaha rekayasa KUSKOP bagi membawa perkhidmatan kementerian secara lebih langsung kepada golongan usahawan, khususnya mereka yang mungkin berdepan dengan kekangan untuk mendapat maklumat atau berurusan terus dengan agensi berkaitan.
"KUSKOP menyasarkan antara 30,000 hingga 50,000 usahawan di seluruh negara mendapatkan khidmat PRIME menjelang akhir tahun nanti dan menerusi projek kali pertama ini, kita cuba untuk menguar-uar perkhidmatan kepada usahawan di seluruh negara yang berpotensi mendapatkan perkhidmatan di setiap pusat NADI," katanya.
Sim berkata sasaran berkenaan akan menjadi antara ukuran awal bagi menilai keberkesanan pelaksanaan PRIME dalam menyediakan akses lebih mudah kepada khidmat sokongan keusahawanan pada peringkat akar umbi.
Sementara itu, Mustaffa Kamil berkata PRIME ialah inisiatif yang diterajui INSKEN dengan kerjasama strategik MCMC bagi menjadikan NADI sebagai pusat sehenti rujukan keusahawanan pada peringkat komuniti dengan MCMC menyediakan rangkaian dan fasiliti NADI di seluruh negara.
Beliau berkata INSKEN pula membawa kepakaran pembangunan keusahawanan serta menyediakan latihan kepada pegawai NADI yang akan menjadi petugas barisan hadapan PRIME.
"Pelancaran PRIME tahun ini turut membawa makna istimewa apabila INSKEN menyambut ulang tahun penubuhannya yang ke-20 dan sepanjang dua dekad, INSKEN telah melatih dan membimbing lebih 180,000 usahawan menerusi lebih 4,000 program latihan dan bimbingan di seluruh negara,” katanya.
Beliau berkata INSKEN tidak sekadar menyediakan fail panduan, sebaliknya melaksanakan latihan secara bersemuka dan dalam talian bagi melengkapkan 222 pegawai NADI dengan pengetahuan, kemahiran dan kefahaman yang diperlukan untuk memberikan khidmat serta nasihat keusahawanan yang berkualiti.
Dalam pada itu, Mustaffa Kamil berkata penerbitan buku bersempena dengan ulang tahun ke-20 INSKEN bertujuan meningkatkan kesedaran dalam kalangan usahawan, khususnya golongan muda tentang pelbagai kemudahan dan agensi kerajaan yang tersedia untuk membantu mereka.
"INSKEN juga sedang mengenal pasti dan menghimpunkan golongan jutawan yang pernah mengikuti program atau menerima manfaat daripada institusi itu sepanjang tempoh 20 tahun," katanya.
Buku Aspirasi Membangun Usahawan MADANI 20 Tahun INSKEN mendokumentasikan sejarah penubuhan, perkembangan peranan, pencapaian program serta sumbangan INSKEN kepada pembangunan ekosistem keusahawanan negara sepanjang dua dekad.
-- BERNAMA