KUALA LUMPUR, 22 Ogos (Bernama) -- Cadangan Memorandum Persefahaman (MoU) berkaitan kerjasama membanteras narkotik bakal menyediakan kerangka lebih tersusun untuk memperkukuh kerjasama sedia ada antara Malaysia dan Pakistan dalam menangani ancaman dadah semasa.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata perbincangan mengenai MoU itu diadakan semasa lawatan beliau ke Ibu Pejabat Anti-Narcotics Force (ANF) Pakistan di Islamabad semalam, selain menerima taklimat daripada Ketua Pengarah ANF Mejar Jeneral Abdul Moeed.
Beliau berkata ancaman dadah kini semakin kompleks, khususnya peningkatan dadah sintetik seperti methamphetamine serta penglibatan rangkaian jenayah terancang transnasional yang beroperasi merentas sempadan.
“Kedudukan Pakistan yang berhadapan secara langsung dengan aliran dadah dari Afghanistan menjadikan kerjasama dengan negara ini penting kepada Malaysia, khususnya apabila laluan penyeludupan turut menjangkau Asia Timur dan Asia Tenggara.
"Kita tidak boleh menangani ancaman ini hanya dalam lingkungan sempadan negara atau rantau ASEAN,” katanya menerusi hantaran di Facebook bersempena dengan lawatan rasmi selama dua hari ke Islamabad, Pakistan bermula Khamis (20 Ogos).
Saifuddin Nasution berkata dalam menghadapi rangkaian jenayah yang semakin canggih, kerjasama antara agensi penguatkuasaan tidak boleh sekadar di atas kertas, sebaliknya maklumat mesti dikongsi, risikan diterjemahkan kepada tindakan dan jaringan antarabangsa dimanfaat bagi memutuskan rantaian bekalan sebelum dadah sampai ke negara ini.
Beliau berkata Malaysia dan Pakistan mempunyai asas kerjasama operasi yang kukuh, termasuk lebih 28 kes pernah diselaraskan bersama antara 2012 dan 2018, justeru, fokus seterusnya adalah menggiatkan semula kerjasama tersebut melalui perkongsian risikan yang lebih aktif, operasi berasaskan risikan secara terselaras, latihan serta pertukaran kepakaran antara agensi kedua-dua negara.
Saifuddin Nasution turut mengadakan kunjungan hormat ke atas Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Pakistan, Mohammad Ishaq Dar yang menyaksikan kedua-dua pihak bertukar pandangan mengenai perkembangan serantau dan antarabangsa, kepentingan dialog dan diplomasi dalam menangani konflik, serta keperluan memperkukuh kerjasama antara negara Islam dalam menghadapi cabaran geopolitik dan ekonomi semasa.
Perbincangan turut memberi tumpuan kepada kerjasama ekonomi seperti perdagangan dan pelaburan, keterjaminan makanan termasuk potensi bekalan beras dan daging dari Pakistan, akses pasaran, serta usaha memperluas hubungan rakyat dengan rakyat melalui cadangan kemudahan visa.
Saifuddin Nasution turut berkongsi hasil pertemuan bersama rakan sejawatnya, Menteri Dalam Negeri dan Kawalan Narkotik Pakistan Syed Mohsin Raza Naqvi termasuk persetujuan menubuhkan Joint Working Group bagi memperincikan kerjasama keselamatan, kawalan narkotik dan latihan kepolisan, di samping pemeteraian Perjanjian Pemindahan Antarabangsa Banduan antara kedua-dua negara.
"Turut dibincangkan ialah usaha memperluas hubungan rakyat dengan rakyat, termasuk cadangan berkaitan kemudahan visa bagi meningkatkan pergerakan dan interaksi antara kedua-dua negara," katanya.
Saifuddin Nasution bersama delegasi Malaysia turut melawat ibu pejabat National Database and Registration Authority (NADRA) bagi melihat ekosistem pengurusan identiti dan pendaftaran awam negara itu.
Katanya, delegasi Malaysia diberikan taklimat oleh Pengerusi NADRA, Lt Gen Muhammad Munir Afsar mengenai pangkalan data identiti, biometrik, penggunaan teknologi dalam penyampaian perkhidmatan kerajaan, pengurusan sempadan, pengesahan data pasport, identiti digital serta sokongan kepada aspek penguatkuasaan undang-undang.
Menurut beliau, perbincangan itu membuka ruang kerjasama dan pertukaran kepakaran dalam bidang penyelesaian identiti digital, e-Kerajaan, pengurusan krisis dan keselamatan siber.
Katanya pengalaman tersebut amat berguna dalam usaha Kementerian Dalam Negeri meneroka penggunaan teknologi bagi memperkukuh keselamatan dan kecekapan sistem, sejajar dengan usaha Kerajaan MADANI memastikan transformasi digital sektor awam memberi manfaat langsung kepada rakyat.
-- BERNAMA