Am 22/08/2026 02:18 PM

Tapisan Ketat Bagi Guru Sekolah Agama Selangor, Pastikan Keselamatan Pelajar - JAIS

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Tapisan Ketat Bagi Guru Sekolah Agama Selangor, Pastikan Keselamatan Pelajar - JAIS
Datuk Mohd Shahzihan Ahmad

SHAH ALAM, 22 Ogos (Bernama) -- Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dalam proses merangka langkah serta garis panduan bagi mengekang salah laku, khususnya melibatkan kesalahan seksual di sekolah agama negeri itu. 

Pengarah JAIS berkata Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata perbincangan kini giat dijalankan bersama Jawatankuasa Pendaftar Sekolah yang antara perkara dicadangkan mengenai proses tapisan guru yang lebih ketat. 

“Ada kemungkinan kita akan mensyaratkan semua guru mesti dapat ulasan daripada pihak polis. Perlu ada tapisan daripada keselamatan, kita akan bincang dengan polis dalam melaksanakan tapisan itu,” katanya ketika ditemui pada Majlis Perasmian Penutupan Kursus Persediaan Pelajar Negeri Selangor Ke Luar Negara (Timur Tengah) 2026 di sini hari ini. 

Beliau berkata garis panduan antara pelajar dan guru juga sedang dibincangkan bagi mengatasi permasalahan sama dengan pengasingan yang lebih tegas akan dicadangkan. 

Mohd Shahzihan berkata guru, pentadbir dan pelajar tidak boleh buat apa-apa perkara yang sepatutnya dihindari.

“Sebagai contoh, tidak boleh beri layanan sangat istimewa dan berjumpa pada waktu yang tidak lazim, tidak boleh bertemu atau buat sesi hafalan pada waktu sunyi atau waktu orang tidak jaga. Ini supaya ada kesedaran,” katanya. 

Sebelum ini, media melaporkan kerajaan negeri menyerahkan sepenuhnya kepada polis siasatan membabitkan kes amang seksual melibatkan seorang guru terhadap pelajar di sebuah sekolah agama.

-- BERNAMA