TAWAU, 22 Ogos (Bernama) -- Pemain industri di Sabah berharap kerajaan memberi tumpuan khusus kepada pemerkasaan sektor Ekonomi Biru termasuk akuakultur dan pelancongan menerusi penyediaan peruntukan bersasar dalam Belanjawan 2027.
Sokongan itu dilihat penting bagi memastikan kelangsungan projek berteknologi tinggi tempatan, memperkasakan pembangunan modal insan serta mengurangkan kos operasi harian pengusaha khususnya di kawasan pantai dan pulau di sini.
Pengusaha projek integrated multi-trophic aquaculture (IMTA) Sylvia Thien berkata projek akuakultur mampan yang dibangunkan di Pulau Boheyan, Semporna memerlukan sokongan kerajaan menerusi Belanjawan 2027 bagi melonjakkan lagi potensi sektor Ekonomi Biru di Sabah.
"Projek ini bukan sahaja memfokuskan kepada aktiviti penternakan marin mesra alam merangkumi rumpai laut, kuda laut, timun laut, abalon dan tiram, ini juga merangkumi pembangunan hiliran termasuk industri farmaseutikal bagi pasaran global seperti China.
"Saya berharap Belanjawan 2027 menyediakan kemudahan pinjaman berfaedah rendah dan peluasan pengecualian cukai selama 10 tahun khusus untuk pemain industri Ekonomi Biru.
"Selain itu, bantuan subsidi bahan api diesel bagi bot pengangkutan harian serta subsidi perolehan dan penyelidikan benih akuakultur amat diperlukan memandangkan cabaran kadar kelangsungan hidup spesies marin yang tinggi," katanya kepada Bernama.
Sylvia berkata beliau juga berharap supaya proses dokumentasi termasuk permohonan lesen dan kelulusan kawal selia dapat dipermudah dan dipercepat oleh agensi kerajaan berkaitan bagi menyokong perkembangan industri itu.
Sementara itu, Presiden Dewan Perniagaan dan Industri Sabah Awil Kamsari mencadangkan penubuhan akademi latihan khusus bagi memperkasakan tenaga kerja tempatan menerusi latihan dan pengiktirafan sijil profesional di bawah Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
"Kita melihat ramai tenaga kerja mempunyai pengalaman luas, namun terhenti di situ sahaja kerana ketiadaan sijil pengiktirafan rasmi.
"Menjelang Belanjawan 2027, hari ini kita ketengahkan keperluan peruntukan khas daripada kerajaan agar usaha melatih dan membimbing bakal pekerja serta komuniti dapat diperkasakan menerusi dasar TVET," katanya.
Beliau yang juga pengusaha pelancongan berkata kerajaan diharap memperbanyakkan inisiatif dan pemberian geran bagi membantu menjamin kelangsungan industri kecil, terutama mereka yang berdepan peningkatan kos operasi.
Awil berkata jumlah subsidi diesel bagi pemain industri pelancongan turut dicadangkan supaya dinaikkan, misalnya kepada 500 liter sebulan, bagi memenuhi keperluan operasi bot dan pengangkutan harian.
-- BERNAMA